Nama saya ZAZA KAKCHIK. Kejadian ini berlaku terhadap diri saya sendiri hampir empat tahun yang lalu. Sampai sekarang detik hitam yang sungguh menyeramkan ini tidak dapat terhapus dari minda saya. Waktu itu saya masih menengah tiga. Saya dari salah satu pasukan berseragam di sekolah. Semasa kejadian itu, saya harus menjalani latihan di sebuah tempat latihan yang terletak berdekatan dengan daerah Lim Chu Kang! Sebaik sahaja tiba, kami semua harus berpecah mengikut kumpulan masing-masing untuk ke bilik rehat kami, yang lebih dikenali sebagai "BUNK".
Setiba sahaja di "bunk", di antara lapan orang di dalam bilik itu, saya orang yang terakhir masuk. Ya Allah, menyesal saya! Oleh kerana saya berjalan berlengah-lengah, tinggal satu saja pilihan katil untuk saya. Katil saya betul-betul berdekatan dengan pintu. Geram saya. Dipendekkan cerita, malam pun tiba. Siap pukul 10 malam, lampu disuruh padam. Sekitar pukul 12 tengah malam, saya terbangun keranarasa panas sekali. Panas bercampur bahang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya betul-betul tidak boleh tidur... Saya pun duduk, nasib baik bukan saya seorang sahaja, rupa-rupanya ada juga kawan saya yang masih terjaga lagi. Mereka juga rasa panas.
Tiba-tiba saya ternampak ada satu kipas yang terletak betul-betul di tepi almari kawan saya. Saya pun turun dan cuba hendak menghidupkan kipas angin itu. Malangnya tidak boleh. Tiba-tiba terdengar suara, "SIAPA ITU BELUM TIDUR LAGI?!" Alamak! Sarjan kami! Saya pun mengadu padanya bahawa kami semua rasa panas sebab kipas rosak. Pada malam itu juga Sarjan saya memanggil tiga orang sukarelawan, termasuk saya, turun ke bilik stor dan mengambil dua kipas angin elektrik. Kami pun turun dengannya. Perjalanan ke bilik stor mengambil masa hampir 10 minit. Kami harus turun dari tingkat empat bangunan dan merentas tiga bukit kecil. Bukit itu ada tangga kecil. Jadi tiada masalah untuk kami.
Tiba sahaja di depan bilik stor, sarjan suruh saya pegang lampu suluh dengan beg yang dia bawa kerana harus membuka pintu. Selepas itu saya beri semula barang itu padanya. Saya orang pertama masuk bilik stor dan mengambil kipas lalu berikan pada kawan saya. Ada satu kipas lagi yang saya harus bawa. Sebaik sahaja kipas sudah diangkat. Saya pun suruh kawan yang di depan mula berjalan. Sebab, saya terasa belakang kipas sudah diangkat. Kipas yang mulanya berat menjadi ringan. Sebab itu saya pasti dan yakin sarjan sudah angkat belakang kipas itu.
Bayangkan perjalanan yang harus kami tempuhi untuk balik ke "bunk" kami. Bagaimana kami pergi, begitulah laluan yang harus kami tempuhi semasa hendak pulang ke bunk, tetapi kali ini kami harus naik bukit Setiba sahaja di tingkat tiga, ada lagi satu tingkat yang harus kami naik. Dan sesuatu berlaku, "PAAAAAPPP!!!!!!" Kipas yang saya angkat terjatuh!!. Tanpa disedari, saya rasa kipas itu berat sekali!! Kawan saya semua terperanjat. Saya mula takut. Bulu roma semua berdiri. Tiba-tiba, saya mula sedar. Di mana sarjan saya??? Sepanjang perjalanan tadi suaranya pun tidak kedengaran. Malah suluhan lampu pun tidak kelihatan. Saya baru perasan. Astaghfirullahal'azim. Siapa yang angkat kipas dengan saya tadi??? Pada malam itu, saya, dan dua kawan saya tidak boleh tidur. Itu sahaja yang boleh saya kongsi bersama. Selamat malam dan terima kasih.