Saya harap KC akan mengetengahkan pengalaman saya dan teman-teman sekerja saya yang terjadi sekitar dua tahun lalu. Syarikat kami telah berpindah ke pejabat baru yang terletak di kawasan utara. Nak dipendekkan cerita, bos kami memasang beberapa buah CCTV (kamera litar) di pejabat kami. CCTV ini jenis dapat mengesan pergerakan (motion detector) dan akan merakam sebarang pergerakan di mana CCTV itu diletakkan.
Saya tidak pasti apa tujuan Bos memasang CCTV itu tetapi pada satu hari, dia datang ke meja kami (ada empat meja di jabatan saya) dan melihat sekeliling tempat kita. Dia bertanya, "Did you girls switch off the aircon last night?" Dan kami pun menjawab, "We did." Dia berkata lagi, "Something funny happened last night. I was randomly looking at the CCTV and it was recording at 3am." Kami pun terkejut lalu Bos tidak berkata apa-apa lagi lalu beredar. Alat penghawa dingin ini betul-betul berada di tembok bersebelahan meja saya. Selalunya kalau anginnya kuat, kertas-kertas akan bergerak sedikit. Mungkin itu yang Bos maksudkan apabila dia bertanya soalan itu kepada kami.
Pada keesokan harinya, dia membawa lampu kecil yang mempunyai fungsi automatis. Dia pun berkata, "This light will switch on by itself at 7pm onwards. So if there's any recording, we may be able to see what's moving around here..."
Hari berikutnya, dia datang ke meja kami lagi dan berkata, "It happened again. the CCTV was recording but there's still nothing that was moving here last night." Saya pun berkata, "Maybe the CCTV is faulty?" Dia kata, "Cannot be... It's new..."
Perkara aneh ini berulang lagi buat beberapa hari seterusnya. Bos memanggil teknisyen untuk memastikan bahawa CCTV itu tidak rosak. Namun ianya terjadi lagi. Bos memanggil kami berempat masuk ke biliknya dan beliau menyuruh kami lihat rakaman CCTV dari komputer ribanya. Bos menekan tarikh dan masa, dan rakaman itu mula diputar semula. Memang benar, kami dapat lihat CCTV itu tiba-tiba mula merakam pada waktu sekitar dua pagi. Tiada apa pun yang bergerak di sekitar meja kami. Kami berempat rasa seperti ada yang tak kena dengan pejabat ini. Bos pun menekan tarikh dan masa yang berlainan. Masanya sekitar pukul 6.30 petang. Dalam rakaman itu menunjukkan bahawa kami baru saja keluar dari pejabat. Rakaman seterusnya ialah sekitar 7.15 malam. Tiada apapun yang terlihat tetapi masih merakam.
Pada pukul 7.48 malam, CCTV yang dipasang betul-betul di depan bilik Bos mula merakam. Apa yang kami lihat benar-benar memeranjatkan kami semua. Terlihat seperti kepulan asap putih berlegar di hadapan CCTV. Seperti menghayun kiri dan kanan. Benda itu amat jelas kelihatan. Kawan saya berteriak, "Boss! What's that?!" Boss kami pun terpaku melihat rakaman itu. Benda itu hanya berlegar di situ buat beberapa minit dan hilang begitu sahaja.
Mungkin ada banyak lagi penampakkan seperti itu pada hari-hari yang lain tetapi Bos memilih untuk tidak melihat rakaman itu lagi. Dia memanggil seorang sami untuk "bersihkan" pejabat kami dan selepas itu dia memberitahu kami tiada lagi kejadian 'rakaman' aneh yang berlaku. Namun dia menasihati kami semua agar tidak pulang terlalu lewat, Kalau boleh, 5.30 petang genap semua harus pulang. Untuk pengetahuan semua, kejadian itu terjadi pada bulan Hantu yang disambut kaum Cina.