Fikirannya jauh melayang. Dia seolah-olah berada di dunia yang asing yang mana hanya dirinya bersendirian. Sesekali dilepaskan keluhan. Terasa fikiran yang begitu bercelaru.Fikirannya mengimbas 8 tahun yang lalu. Ketika dia di alam persekolahan.
" Bila agaknya kau nak mati ya?." begitu laju ayat tersebut keluar dari mulut Azi. " Kalau kau mati, jangan lupa jemput aku makan kenduri arwah kau. Nanti bolehlah aku makan nasi percuma selama 7 hari berturut-turut." Azi bersuara lagi. Ah, mulutnya memang celupar.
Namun sebenarnya dia hanya bergurau dengan teman-temannya. Mereka berempat adalah kawan karib. Kemana pergi mereka sentiasa bersama. Sesungguhnya Azi memang tak pernah 'sayang' pada mulutnya sendiri kalau-kalau ditampar orang suatu hari nanti.Azi, Ozi, Sani & Kay. Itulah nama mereka. Azi adalah yang paling nakal dan suka merenung mata guru Bahasa Malaysia ketika guru itu sedang mengajar. Guru Bahasa Malaysia yang dikiranya mudah 'gabra'. Apa tidaknya..setiap kali guru itu mengajar, matanya tidak fokus pada pelajar sebaliknya pada dinding, kipas dan meja serta papan hitam. Boleh dikatakan bahawa Azi memang pelajar yang cukup nakal dikelasnya. Dia bukanlah budak lelaki apatah lagi tomboy.Dia perempuan tulen namun pengalamannya semasa di sekolah rendah menjadikan dia murid yang degil. Malah dia pernah bertumbuk dengan pelajar lelaki gara-gara pelajar tersebut menulis perkataan "babi' di beg sekolahnya. Pernah sekali, ketika gurunya sedang mengajar..Azi sibuk melukis gambar dan mengomel sendiri. Bayangkan betapa meradangnya guru tersebut dan lantas disoal tentang apa yang diajarnya. Tapi otak Azi memang agak bagus kerana dia mudah memahami pelajaran dan kerana itulah dia malas menumpukan perhatian pada pelajaran. Dia lebih suka bermain daripada belajar. Kerana itu jugalah, buru Bahasa Inggerisnya kerap 'mendera' Azi bilamana waktu kelas Bahasa Inggeris. Malah ketika Azi sakit tekak, gurunya buat tidak endah dan disuruhnya juga Azi membacakan esei dengan lantang dihadapan kelas. Akibatnya suara 'itik serati' yang keluar. Merah padam mukanya kerana malu tapi diteruskannya jua. Senang kata, Azi ni memang kepala batu. Apa tidaknya, ada ke patut dia cuma ambil 8 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM. Dia langsung tak hiraukan akibat yang bakal diterima di kemudian hari. Bukan dia tak bercita-cita tinggi tapi keadaan keluarga memaksanya menguburkan segala impian. Kerana tidak didedahkan tentang kemudahan pelajaran yang boleh dilakukan, maka dia menganggap bahawa setiap sen untuk kos pelajaran perlu ditanggung oleh bahunya sendiri. Manalah dia ada duit untuk itu semua!.
Masih jelas diingatan Azi bilamana pada suatu hari Kay mengajaknya meronda ke keliling kampung dengan menaiki motor abang Kay. Azi rasa cukup seronok kerana dia dapat membawa motor. Tambahan pula dia baru saja belajar menunggang motokisal. Dalam kelekaan menunggang, tiba-tiba bas yang mereka ekori brek mengejut. Azi tidak tahu apa yang perlu dibuat. Dia cuba membelok ke kanan tetapi ada kereta datang dari arah depan. Akhirnya dia mengambil keputusan membelok ke arah rumah orang di kawasan itu. Sepatutnya Azi menekan brek tetapi kerana panik tangannya secara tidak sengaja memulas minyak. Motosikal terus meluncur laju dan melanggar pokok. Mereka berdua terjatuh dan dihempap motosikal. Plate motor telah patah. Mereka pucat. Akhirnya mereka balik ke rumah Azi dan melekatkan semula plate motor yang telah patah. Pada malam itu Azi tidak dapat tidur kerana bimbang kalau abang Kay dapat tahu bahwa mereka telah merosakkan motornya. Pada keesokan paginya, kay menelefon memberitahu Azi bahawa dia telah ditampar oleh abangnya kerana injap motor telah patah. Kay tidak memberitahu abangnya bahawa kerosakan itu disebabkan oleh Azi. Dia tidak mahu menyusahkan kawannya kerana pada anggapannya kerosakan itu berpunca dari dirinya.
Beberapa bulan berlalu
Peperiksaan akan bermula setengah jam lagi. Ketika itulah Azi baru sibuk membuka buku teks. Membaca segala isi kandungan yang termampu dihabiskan selama tempoh itu. Sesekali dia menelan air liur bila membayangkan betapa 'gabra'nya dia. Bila tiba masa untuk melangkah masuk ke dewan peperiksaan jantungnya mula berlari kencang. Tuhan saja yang tahu betapa dia cukup panik. Kejayaannya terletak pada tangan sendiri. Pada ketika itulah baru dia berasa kesal kerana mengabaikan pelajarannya. Tapi segala-galanya sudah terlambat."Awak semua diberi masa selama 2 jam untuk menjawab soalan matematik." kedengaran suara guru yang menjaga dewan peperiksaan memberitahu pelajar-pelajar tentang masa.
"Matilah aku kalau macam ni!." jerit hati kecil Azi. Kepalanya 'kosong'. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk tidur kerana tidak mampu untuk menjawab soalan matematik tersebut. Setelah sejam setengah masa berlalu barulah Azi terjaga dari tidurnya. Kelam kabut dia menjawab soalan-soalan yang dia rasa boleh dijawabnya. Ketika itulah baru dia sedar bahawa dia telah membuang masa untuk kedua kalinya. Betapa bodohnya dia.
Apabila melangkah keluar dari dewan peperiksaan pada hari terakhir paperiksaan, kekecewaan jelas bermain diwajahnya. Kecewa kerana tahu dia akan gagal dalam peperiksaannya yang ini.
3 tahun berlalu.
Azi kini telah bekerja sebagai kerani di salah sebuah syarikat di daerahnya. Entah mengapa perjalanan pada pagi itu tidak selancar hari-hari biasa. Dia mula resah bila melihatkan jarum dijamnya menunjukkan angka sembilan. Kemudian teksi yang dinaikinya bergerak perlahan-lahan. Rupa-rupanya ada kemalangan yang berlaku. Sebiji motor, sebuah van dan sebuah lori yang sarat dengan muatan. Darah melimpah ditengah jalan seolah banjir darah. Azi tidak sanggup memandang ke jalan raya. Apatah lagi dengan bau hanyir darah. Hampir saja dia muntah tetapi cuba ditahannya. Akhirnya dia tiba juga ke pejabat.
Dia sebenarnya bosan bekerja di syarikat itu walhal baru sahaja kerja 2 bulan. Bukan dia memilih kerja atau tidak suka bekerja tetapi gangguan pekerja lelaki membuatkan dia rasa tertekan. Pada pendapatnya dia bukanlah seorang gadis yang cantik tetapi mengapa dia sering diganggu. Gangguan yang berbentuk surat, panggilan telefon & hadiah. Kadang-kadang hadiah itu diberikan kepada kawannya dipejabat. Malas dia hendak ambil tahu. Bukannya dia sombong tetapi dia tidak suka diperlakukan begitu.
Tengahari itu ketika waktu makan tengahari, Azi menghabiskan masa dengan duduk dibawah pohon dihadapan pejabatnya yang menghala ke jalanraya. Selang beberapa minit, datang seorang lelaki dan duduk berhampiran dengannya. Azi buat tak endah sahaja kerana pada sangkaannya lelaki itu sekadar duduk. Namun sangkaan Azi meleset bilamana lelaki itu mula bersuara.
"Kenapa bersendirian di sini?" tanya lelaki tersebut.
"Saja. Kenapa?." Azi menanya semula tanpa memandang lelaki tersebut.
"Kedatangan saya mengganggu Azi ke.?"
"Tidak." sepatah dijawabnya.
"Boleh ke saya duduk di sini?."
"Duduklah saya tak melarangnya. Lagipun saya tidak menjemput awak duduk di sini." Azi menjawab perlahan tanpa menyedari kata-katanya mungkin menyinggung perasaan lelaki itu. Bukan dia menghalau lelaki itu tetapi dia rasa serba-salah bila dihampiri lelaki. Dia tidak betah bersama dengan lelaki kerana pada anggapannya lelaki suka membuli. Pengalam di sekolah rendah banyak mengajarnya tentang kenakalan lelaki.
Din nama lelaki itu. Ternyata Din rasa malu dengan jawapan yang diberikan oleh Azi. Kemudian dikirimnya surat. Isi kandungan surat itu berbaur kemarahan dan menyatakan betapa angkuhnya Azi. Ternyata Azi tidak ambil pusing dengan surat tersebut. Bukan sekadar Din yang mengganggunya tetapi ramai lagi. Boleh dikatakan itu bukanlah gangguan tetapi mereka hanya hendak berkawan dengan Azi. Namun Azi memang tak sukakan lelaki. Kerana itu jugalah dia tidak pernah berkawan dengan lelaki sejak habis bersekolah. Azi sebenarnya tidak tahu bahawa dia mempunya rupa paras yang agak menarik. Langkahnya juga teratur seolah dia melangkah pada sekeping papan. Dalam ertikata Azi memang 'sempurna'.
Selang dua bulan Azi meletakkan jawatannya dengan alasan hendak belajar semua. Walhal dia menipu. Dia sebenarnya telah mendapat kerja lain. Disangkakan masalah gangguan telah berakhir tetapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Dan untuk sekian kalinya dia meletakkan jawatan setelah 3 bulan bekerja. Dia dah mula 'pening' dengan keadaan sedemikian. Jika diturutkan hatinya, mahu saja dia berhenti bekerja tetapi jika tidak bekerja mana nak dapatkan duit. Mahu tidak mahu terpaksalah dia bekerja.
Hari ini masuk minggu ke dua dia bekerja di syarikat barunya. Kali ini ternyata lebih ramai pekerja lelaki yang mengusiknya. Kerana tidak tertahan lagi maka Azi ambil keputusan 'menyerang' lelaki tersebut & lelaki itu cuma tertawa. Dengan susah payah Azi menepis segala usikan pekerja lelaki dalam tempoh 2 1/2 tahun bekerja di situ. Di kuatkan hati menerima segala masalah.
Pada suatu malam dalam jam 11.00 telefon di diliknya berdering. Setelah diangkatnya kedengaran suara lelaki di hujung talian.
"Boleh saya bercakap dengan Azi?." tanya suara tersebut tanpa mengenalkan dirinya.
"Siapa di sana?" tanya Azi. Dia tidak mahu bercakap dengan lelaki yang tidak dikenali.
"Err, saya Khairul. Abang kepada Kay". lelaki tersebut mengenalkan dirinya.
Hati Azi tertanya kenapa abang Kay melefonnya dimalam hari. Lantas bertanya " Ada apa awak telefon?".
"Sebenarnya macam ni, buat pengetahuan awak..Kay dah 3 hari koma. Dia berada dihospital. Saya minta jasa baik awak untuk beritahu kawan-kawan yang lain tentang hal ini."
Azi tersentak & terpana sejenak. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Benarkan apa yang didengarinya atau sekadar mainan? " Eh, awak ni biar betul? Saya baru aje bercakap dengannya beberapa hari yang lepas." Azi bertanya demi untuk mendapatkan kepastian.
"Betul Azi saya tak menipu. Saya minta tolong awak agar kumpulkanlah kawan-kawan yang lain.Mungkin ini kali terakhir awak dapat menemuinya." katanya abang kay lagi.
Gagang telefon terlepas dari tangannya. Lidahnya kelu. Dengan perlahan air matanya mengalir dan dia terus menangis teresak-esak.
Pada keesokkan paginya dia menelefon Ozi dan Sani bagi memberitahu perkara tersebut. Dalam jam 11.30 pagi mereka bertiga bertolak ke hospital. Sesampainya di hospital, Azi terus mencari bilik Kay. Kelihatan ibu & abang kay berada di sisi katil. Selepas menyalami ibu Kay, dia lantas mematikan pandangannya pada Kay. Hatinya meronta meraung melihat keadaan Kay. Di hidungnya dimasukkan wayar bantuan pernafasan. Mulutnya sentiasa mengalirkan darah merah. Matanya tertutup rapat. Air mata Azi keluar mencurah ibarat hujan yang disertai oleh ribut. Dia tidak mampu membendung perasaanya. Serta merta menyalahkan diri sendiri atas keceluparannya bebrapa tahun yang lalu. Jika dia tidak gatal mulut menanyakan bila kawannya hendak mati tentu kejadian ini tidak berlaku. Azi kemudian keluar dari wad dan menuju ke bilik air. Di situlah dia melepaskan tangisannya. Dia cukup takut andai Kay 'pergi' meninggalkannya.
"Azi, mari kita pergi makan." Sani bersuara.
"Makan? tapi macamana dengan Kay?" tanya Azi.
"Kay? dia takkan apa-apa Azi. Percayalah." tutur Sani lagi.
"Dah tengahari ni. mari kita makan dulu. Lepas makan kita datang semula ke hospital. Boleh ya Azi." pinta Ozi pula.
Azi cuma mendiamkan diri. Dengan perlahan dia menganggukkan kepala sebagai tanda setuju.
Selepas makan mereka bergegas kembali ke hospital. Masa melawat tinggal beberapa minit saja lagi. Pelawat tidak dibenarkan berada di wad melebihi dari waktu yang ditetapkan. Dengan penuh keterpaksaan mereka melangkah pergi.
Mereka semua berkumpul di rumah Azi. Masing-masing mendiamkan diri. Selang setengah jam datang anak jiran memberitahu khabar kay.
"Kak Azi, akak dah tahu pasal Kak Kay?" tanya Icam. Nama anak jiran yang sulong.
"Kak Kay?. uh, dah tau dik. Akak baru aje pulang dari melawatnya". jawab Azi.
Kemudian anak jiran yang nombor dua datang bertandang lagi. Menanyakan soalan yang sama, jawapan yang aku berikan jua sama. Namun hatiku rasa ada yang tidak kena. Jika tidak, masakan sampai dua kali anak jirannya datang?.
"Oh, jadi Kak Azi dah tau lah ya yang Kak Kay dah meninggal ?" tanya budak tu dengan muka berkerut.
"Apa? dah meninggal? bila?"
"Baru sekejap tadi abang Khairil telefon dari hospital. Dia minta tolong sampaikan pesan pada akak.
Ya Allah! Benarkah Kay 'sudah pergi'?. Bukankah tadi aku baru saja menatapnya?. Tanpa banyak bicara, Azi segera mengajak Ozi & Sani ke hospital untuk melihat Arwah Kay buat kali terakhir. Setibanya di sana, Arwah Kay telah pun di bawa pulang ke kampung halamannya. Azi ingin turut serta dalam kenduri arwah sahabatnya. Namun dia tidak tahu bagaimana caranya kerana semua ahli keluarga Kay telah pulang ke kampung. Maka tinggallah Azi termagu-magu di hospital itu.
Seminggu selepas itu, ibu kepada Arwah Kay datang ke rumah Azi membawa pakaian Kay untuk diberikan kepada Azi. Ibunya menceritakan bahawa beberapa hari sebelum kematian Kay, dia bersikap ganjil. Menurut ibunya, Kay seringkali berpakaian cantik dan memperagakan di hadapan cermin. Bila ditanya mengapa, jawapan Kay ialah dia hendak kelihatan cantik. Bimbang kalau tak dapat memakainya lagi. Namun mak Kay tidak ambil kisah dengan keadaan Kay. Dengan tidak semena-mena ringan saja mulut Azi untuk memberitahu satu rahsia besar Kay yang pernah diamanahkan oleh Kay kepadanya suatu masa dahulu. Menurut kata Kay, ketika dia bekerja di salah sebuah pejabat di kawasan bandar, ada seorang pemuda yang menyukainya tetapi di tolah oleh Kay kerana Kay sudah ada teman istimewa. Berulang kali pemuda tersebut merayu pada Kay agar mempertimbangkan permintaanya namun Kay tetap menolak. Kesetiaan Kay pada teman istimewanya membuatkan dia takkan berubah kasih. Kerana kedegilan Kay menolak permintaan pemuda tersebut maka ia membibitkan dendam di dalam hati pemuda itu. Pemuda itu kemudiannya mengugut Kay dengan mengatakan bahawa dia akan 'bomoh'kan Kay sehingga mati. Tetapi Kay tidak ambil pusing pada kata-kata pemuda itu dan mengatakan walau apa yang terjadi dia tetap takkan menerima lelaki itu. Selepas daripada itu, Kay tidak lagi menemui bayang pemuda tersebut. Itulah rahsia yang selama ini disimpan rapi oleh Azi. Memandangkan sahabatnya telah 'tiada' maka dia membuka rahsia tersebut hanya kepada ibu arwah Kay. Ibu arwah Kay menanyakan mengapa selama ini tidak Azi ceritakan hal tersebut kepadanya agar dia dapat melakukan sesuatu sebelum terjadi apa-apa. Jawapan Azi ialah dia dan Kay tidak mempercayai hal karut-marut terutamanya soal bomoh. Dan soal ajal-maut adalah di tangan Tuhan. Sekiranya Tuhan menghendaki sesuatu ia pasti akan terjadi. Bomoh bukannya Tuhan yang sesuka hati hendak mencabut nyawa orang. Perbualan mereka tidak panjang pada malam itu. Sebelum ibu arwah Kay beredar, dia menjemput Azi sekeluarga datang ke rumah pada keesokan harinya untuk kenduri arwah yang ke 7 hari.
Sehingga kini perkataan " Bila agaknya kau nak mati ya?." dan " Kalau kau mati, jangan lupa jemput aku makan kenduri arwah kau. Nanti bolehlah aku makan nasi percuma selama 7 hari berturut-turut." masih menghantui hidupnya. Dia rasa cukup menyesal kerana sering mengeluarkan perkataan itu semasa sahabatnya masih hidup. ANDAI MASA ITU MILIKNYA..PASTI DIUNDUR SEMULA MASA YANG BERLALU.
p/s - buat perhatian penerbit, ini adalah cerita benar. Kemalangan dijalanraya itu juga melibatkan kawan penulis dimana dia meninggal di tempat kejadian. Berita kematian itu hanya diketahui selepas sebulan pemergiaan kawannya ke alam barzakh.