Memang sudah resam manusia, tak ada sesiapa yang mahu rugi dalam berjual beli, walau sesen pun. Tak kiralah sama ada orangnya pedagang saham yang tinggal di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur, atau penjual pucuk paku di Mahang, Kedah, semuanya mahukan untung.
Begitu juga dalam soal harga minyak yang melambung naik pada pasaran global sekarang ini, tak ada sesiapa pun mahu rugi. Kerajaan tak rela rugi kerana 'menanggung subsidi', pemandu teksi tak sanggup rugi kerana kos pengendalian meningkat, dan yang terbaru, pembekal elektrik tunggal di Malaysia, Tenaga Nasional pun, nampaknya tak tertahan lagi penderitaannya.
Yang pasti, tak mungkin ada manusia waras yang ingin membayar lebih untuk belian barangan atau perkhidmatan. Jutawan di puncak kondominium di Mont Kiara pun akan marah kalau barangan yang berharga RM1.99 dikatakan RM2. Hakikatnya, tidak ada sesiapa yang suka ditipu.
Bila harga minyak naik, sepatutnya rakyat Malaysialah yang paling gembira. Mana tidaknya, minyak keluaran Malaysia sudahlah jenis premium, malahan boleh dijual pada harga yang sungguh tinggi. Tentulah pendapatan negara berlipat ganda sebab export minyak adalah sumber pendapatan utama negara ini.
Ini tidak, bila harga minyak meningkat pada pasaran global, rakyat disuruh percaya yang kerajaan tidak tertanggung lagi dengan azab subsidi untuk mengekang kenaikan harga pada pasaran tempatan. Yang digembar-gembur saban hari ialah kerajaan rugi, kerajaan rugi. Tak pernah pula kita dengar cerita kerajaan untung atau negara untung.
Kalau betul kerajaan rugi, kenapa pula ramalan Keluaran Dalam Kasar Negara (GDP) meningkat hampir lapan peratus tahun ini? Bukankah nilai ekspot itu salah satu faktor penyumbang kepada GDP? Bukankan peningkatan GDP itu kayu ukur ekonomi negara? Tinggi GDP, makmurlah ekonomi, dan begitulah sebaliknya. Harga saham pun nampaknya semakin mencanak.
Tapi sayang seribu kali sayang, kerajaan pilihan rakyat dalam pilihanraya awal tahun ini tak sanggup menggadaikan sedikit keuntungan besarnya kepada tangan-tangan yang memangkah mereka. Kalau dulu pembuat dasar itu hanyalah sekadar guru biasa yang berbasikal di kampung-kampung, kini sudah berkot kehulu-kehilir dalam kereta mewah selepas diangkat menjadi ahli Yang Berhormat (YB). Tetapi si pemangkah tetap menjual pucuk paku, mengayuh beca atau menjual besi buruk untuk meneruskan hidup.
Betullah kata orang, 'BN' bukannya Barisan Nasional, tetapi 'Barang Naik'. Tengoklah apa jadi selepas enam bulan BN melepaskan pukulan TKO kepada parti pembangkang. Hari ini semua pihak menuntut kenaikan harga. Ironinya, kerajaan berkeras dengan pelbagai amaran kepada mereka yang cuba menaikkan harga walaupun kerajaan sendiri tidak mengamalkan sikap "Kepimpinan Melalui Teladan" yang diperkenalkan Tun Mahathir Mohamad lebih dua dekad lalu.
Pernahkan mereka yang bergelar YB itu membayangkan betapa peritnya penderitaan pemandu teksi di ibukota ini yang terpaksa menyara empat atau lima orang anak-anak yang masih bersekolah atau menyusu? Pernahkah YB-YB yang saban hari makan minum di hotel lima bintang itu membayangkan kenaikan harga minyak buat kesekian kalinya ini meranapkan harapan anak pemandu teksi untuk ke universiti kerana yuran pendaftarannya pun tak mampu si bapa jelaskan.
Sejak Anwar Ibrahim dipecat, harga minyak sudah naik beberapa kali. Kalau dulu harga petrol RM1.10 se liter, kini RM1.42. Memang betul, kenaikan itu bukannya sekaligus, tetapi sudah berapa kalikah tambang teksi sudah dinaikkan dalam tempoh enam tahun ini? Apakah pemandu teksi tidak perlu kenaikan gaji? Apakah harga barang gantian kenderaan semakin murah? Apakah peniaga nasi campur di warung usang ditepi jalan memberi diskaun kepada pemandu teksi? Apakah yuran dan harga buku anak-anak pemandu teksi diberikan percuma?
Jawapannya tentu tidak. Bukan pemandu teksi sahaja, semua rakyat marhaen menderita akibat inflasi ini, apatah lagi mereka yang bekerja sendiri seperti nelayan, pesawah dan petani yang tidak pernah memegang slip gaji atau mengenal istilah 'bonus'.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Cuma mereka yang leka dibuai keenakan stering Brabus sukar untuk memahami ini semua. Komen mereka: "Kenaikan harga minyak adalah minima", "harga minyak di negara kita paling murah di rantau ini", atau "nampaknya peniaga-peniaga sengaja nak ambil kesempatan?".
Saya sebenarnya menghormati pendirian TNB untuk menaikkan tarif elektrik. Sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, tanggungjawab TNB ialah memaksimakan keuntungan kepada pemegang saham mereka. TNB bertanggungjawab kepada mereka, jadi kepentingan mereka mestilah dijaga.
Oleh itu, kenapa pula menteri-menteri kita melenting apabila mana-mana peniaga mahu menaikkan harga? Mereka semua ada tanggungjawab, sama ada kepada keluarga ataupun pemegang saham.
Sepatutnya kerajaan patut berfikir atas landasan yang sama. Kerajaan dipilih rakyat untuk mentadbir negara dan sepatutnya memikirkan kepentingan rakyat. Apalah sangat dengan 'kehilangan' RM10 billion subsidi tatkala rezeki negara melimpah ruah hasil ekspot minyak. Kenapa acapkali alasan kononnya wang subsidi itu sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara?
Pembangunan macam mana lagi yang kita mahu? Sudah ada lapangan terbang tercanggih, sudah ada Putrajaya, sudah ada litar F1, sudah ada Multimedia Super Corridor? Kalau ingin bercakap pasal pembangunan di pedalaman Sarawak, lebih baik lupakan saja. Sudah 47 tahun merdeka pun, masih ramai murid sekolah di sana berkaki ayam dan tidak bersarapan ke sekolah.
Tiap-tiap kali berpesta, kita tembak saja mercun atau lampu laser yang berjuta ringgit ke langit dengan hasil kutipan duit rakyat. Apakah mereka di Lubok Antu atau Machang Bubok dapat menikmatinya sama? Tentu tidak, tetapi yang sah, kesan rantaian inflasi dari harga minyak tidak mengenal sesiapa dan di mana, hatta yang tinggal di Gua Cha atau Niah.
Janganlah sesekali bandingkan kita dengan Singapura jika minyaknya lebih mahal. Jiran kita itu tak mengeluarkan setitik minyak pun. Lagipun, kenaikan harga minyak di sana tentu tidak membebankan kerana rakyatnya adalah antara yang terkaya di dunia. Lagipun, mereka tidak perlu memandu ke tempat kerja, kerana pengangkutan awamnya cukup cemerlang, gemilang dan terbilang. Tetapi pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Baru hanyalah sekadar 'temberang dan tembelang'. Cubalah Dato' YB cuba gunakan perkhidmatan awam, agaknya nak bangunan Parlimen pun payah, apatah lagi nak ke Putrajaya.
Akhir sekali, biarlah saya ulangi bahawa yang menderita akibat kenaikan harga minyak ini sebenarnya adalah golongan berpendapatan rendah. Tidak hairanlah semakin ramai rakyat negara ini yang mengalami sakit jiwa atau bergadai nyawa dan maruah berhutang dengan Ah Long kerana mereka yang diberi mandat untuk mentadbir kekayaan negara ini sebenarnya tidak dapat melihat keluar dari dinding-dinding kaca pejabat berhawa dingin mereka.
Pilu rasanya apabila mengenangkan seorang ibu hilang pertimbangan sehingga memaksa dua anak kesayangannya terjun dari tingkat 17 (walaupun beliau sendiri tidak sanggup berbuat demikian) semata-mata kerana tekanan ekonomi.
Sebenarnya, inilah manifestasi penderitaan rakyat Malaysia hari ini. Kesian sungguh rakyat Malaysia.