Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: MENITI GARIS PELANGI


Veteran Member

Status: Offline
Posts: 36
Date:
MENITI GARIS PELANGI


Suasana suram dan pilu semakin menyelubungi kamar tidurku. Matahari senja telah lama gugur dari lindungan langit. Cuaca mendung pada malam ini seakan-akan mengerti kesedihan yang sedang hebat melanda naluriku. Malam dicengkam kedinginan seolah-olah ingin memuntahkan selautan hujan untuk menenggelamkan bumi dan sekaligus menghapuskan kedukaanku.
Seingat-ingatku, sudah empat hari aku memencilkan diri di dalam kamar ini.

Mama dan papa serta Mak Timah saban hari memujukku dari luar bilik. Tapi, ternyata usaha mereka selama ini menuju kegagalan. Aku hanya keluar apabila perutku mula terasa lapar yang amat sangat. Itupun ketika semua orang di dalam Anggerik Villa ini sedang melayari mimpi yang indah dan mengasyikkan. Ketika itu aku persis seorang pencuri yang ingin mencuri makanan di dalam rumahnya sendiri.

Kejadian lima hari lepas benar-benar meruntun hati dan perasaanku. Aku telah kehilangan seseorang yang amat kusayangi. Dia seorang yang begitu memahami fe'elku. Kenapa ini semua terjadi? Kenapa terlalu awal Zam pergi Kenapa Zam tinggalkanku terkapar-kapar seorang diri di sini? Kenapa dunia ini tak berlaku adil? Kenapa semua orang yang kusayangi dan baik padaku pergi tinggalkanku? Kenapa tidak orang yang kubenci selama ini?

Persoalan demi persoalan begitu kerap bertandang dan mengetuk kamar hati dan ruang mindaku. Ia sentiasa berputar ligat di dalam fikiranku namun tiada jawapan yang boleh aku berikan untuk memujuk hatiku yang keluh-kesah dan gelisah seperti cacing kepanasan ini.
Tiba-tiba aku terpandang sebuah rumah kristal yang dihadiahkan oleh Zam di atas meja tulis. Aku mengambilnya lalu kutatapi dan kurenunginya. Kau begitu mulia Zam. Sanggup kau buat semua ini semata-mata inginkan aku sentiasa mengukirkan senyuman. Tapi kini bagaimana aku harus senyum?

Padahal kau baru saja pergi Zam. Ini benar-benar berlawanan dengan prinsip hidupku. Bergembira di atas kesengsaraan dan penderitaan orang. Perkara ini tidak ada dan tidak akan sesekali wujud dalam kamus hidupku. Bagaikan terbayang-bayang wajah Zam yang kutatapi buat kali yang terakhir.

Masih lagi terngiang-ngiang di telingaku segala pesanan dan amanat terakhirnya. Ia bagaikan sebuah wayang gambar yang sedang berputar memainkan cereka yang penuh tragis di dalam fikiranku. Tanpa kusedari dan kupinta, air jernih mula bertakung di kolam mataku dan mula mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Aku sendiri tidak pasti sudah berapa kali aku menangis dan meratapi pemergiannya. Aku sedar ini semua adalah takdir Illahi. Tiada siapa yang mampu melawan kehendak-Nya. Aku juga menyedari akan hakikat ini. Namun yang pasti aku tidak dapat menerima pemergiannya secara tiba-tiba. Zam pergi di saat-saat kami ingin menggapai impian dan cita-cita yang telah kami bina bersama-sama selama ini. Tahun ini adalah tahun penentuan masa depan kami. Tapi sayang sekali Zam tidak akan sempat menunaikan perjanjian yang telah kami tandatangani dengan keazaman kami berdua. Kucuba kuatkan semangatku yang masih berbaki persis sebesar zarah agar dapat membimbingku ke jalan yang benar. Aku membaca serangkai dua doa penenang jiwa agar boleh mengubati hatiku yang tidak keruan ini. Andai waktu boleh berputar, ingin sekali aku kembali ke masa silam di saat-saat aku menangis dan ketawa bersama-sama dengan Zam. Kenangan pada masa itu mula membesar dan menjajahi seluruh benakku. Aku terlalu rindukan saat-saat itu.

________________________________________________________________________

Suasana di dalam kelas tingkatan 5 Sains 1 hingar-bingar lantaran Cikgu Mariam, guru subjek Biologi tidak hadir ke sekolah. Keadaan yang sedia bising itu bertambah bising disebabkan aku bertengkar dengan Zam kerana dia menuduh aku ada affair dengan pelajar baru kelas sebelah yang baru masuk ke sekolah ini minggu lepas. Aku menafikannya tapi Zam tidak mempercayainya lantas menuduhku sudah tidak mahu berkawan dengannya lagi.

Gara-gara peristiwa inilah aku dan Zam hampir mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Sakit hati, terkilan, kecil hati dan bengang meradak hatiku sekaligus akibat perbuatan Zam yang seakan-akan tidak percayakanku lagi. Dia sanggup mempercayai orang lain dan bukannya diriku ini sebagai kawan karibnya. Lantas aku bergegas ke taman mini sains sekolah yang berhampiran dengan kelasku setelah agak lama kami bertikam lidah. Selain itu aku sedar semua yang ada di dalam kelas sedang menonton drama yang sedang kami lakonkan ini. Zam dengan pantas pula mengekori jejak langkahku dan aku membiarkannya saja kerana tidak mahu bertengkar lagi.

Zam mengekori setiap langkahku dan perbuatanku hinggakan aku bosan dengan sikapnya itu. Apa kena dengan Zam ni Dahlah ikut saja ke mana orang pergi, apa orang buat, senyum-senyum pulak tu. Tambahkan sakit hati aku adalah. Zam senyum-senyum seperti kerang busuk ni macam nak sindir aku saja. Dah tu pandang aku tak berkelip-kelip. Aku sekadar diam seribu bahasa walaupun matanya tak lepas memandangku, tapi aku buat tak tahu saja. Setelah agak lama kebisuan bermaharajalela, aku lihat Zam kegelisahan seperti cacing kepanasan dan mulutnya terkumat-kamit seakan ingin berbicara denganku.

Eida, janganlah macam ni. Maafkan Zam okay, Zam mula memujukku. Suasana sunyi dan senyap yang bermaharajalela tadi bertempiaran lari. Zam sudah membuka mulutnya tapi aku masih lagi membatu.

Eida, maafkanlah Zam. Zam tahu Zam salah. Zam tahu semua ni silap Zam kerana tak percayakan Eida. Zam juga tau Eida tak buat camtu. Hisham dan Adnan tu yang buat cerita tentang Eida dengan budak baru tu. Dia orang cakap, dia orang ada nampak Eida keluar dengan budak tu kat KLCC minggu lepas. Siap pegang-pegang tangan dan peluk-peluk lagi. Manalah Zam tak hot. Tapi, bila Zam tengok Eida bermati-matian menafikannya, barulah Zam percaya. Sorrylah Eida, sebab Zam lebih percayakan kata-kata orang lain daripada best friend Zam sendiri. Hukumlah Zam kalau Eida masih tak puas hati lagi. Zam sudi terima apa saja hukuman daripada Eida, Zam menjelaskannya dengan panjang lebar.

Setelah agak lama aku membiarkan Zam bercakap seorang diri, akhirnya aku memulakan percakapanku walaupun dengan nada merajuk dan berkecil hati.

Pergilah Zam, tinggalkan Eida sendiri di sini. Eida tak perlukan Zam lagi. Zam pun tentu tak ..

Kenapa Eida kata macam tu? Zam tetap perlukan Eida. Eida begitu penting buat diri Zam. Masakan Eida boleh kata macam tu, potong Zam. Zam seperti tidak suka aku cakap begitu. Seharusnya Zam faham perangaiku yang memang pantang apabila orang menuduhku yang bukan-bukan padahal aku tidak buat perkara tersebut.

Why not, aku bersuara lantang seakan-akan ingin mengajak Zam bertikam lidah lagi. Tapi seketika kemudian aku menyedari kesilapanku lantas aku diam sebentar untuk menenangkan hatiku yang mula panas. Zam terkesima dengan perkataanku sebentar tadi. Keadaan kembali sepi seperti tadi. Kami berdua diam seribu bahasa melayani perasaan masing-masing dalam beberapa minit.

Kalau macam tu Eida mesti senyum, ketawa dan gembira seperti dulu. Janganlah tarik muka empat belas lagi. Lagipun orang yang suka masam dan cepat marah ni lekas tua tau. Zam tak maulah kawan dengan orang yang lekas tua ni, nanti tak pasal-pasal berjangkit kat Zam pulak, usik Zam tidak mahu mengalah.

Alah Eida, senyumlah sikit. Zam dah penat tau pujuk Eida ni. Nanti kalau Zam tak mau kawan dengan Eida, Eida juga yang tak ada kawan. Nanti tak akan ada siapa yang nak kawan dengan Eida lagi tau. Lagipun, siapa lagi yang boleh tahan dengan perangai Eida yang kuat merajuk ni kalau bukan kawan Eida yang sorang ni, usik Zam lagi setelah usikannya tadi tidak mampu mengubah pendirianku.

Walaupun begitu, aku rasa amat gelihati selepas dia menghabiskan ayatnya yang terakhir itu. Aku sendiri pun tak sangka aku boleh termakan dengan usikannya yang begitu bersahaja dan selamba tu. Walau bagaimanapun, aku berpura-pura tidak mengendahkan kata-katanya itu. Aku cuba jual mahal dengannya. Padan muka, biar dia tahu betapa susahnya nak memujuk aku. Siapa suruh dia tak percayakan aku. Ikut lagi nasihat Adnan dan Hisham tu. Aku hampir-hampir nak ketawa tapi kutahan juga supaya Zam tidak perasan bahawa kata-katanya tadi mampu menundukkan egoku.

Senyumlah sikit, sayang. Kalau sayang nak tahu, senyuman sayang tu mampu menyejukkan dan menggetarkan hati abang yang gundah-gulana ni tau.

Serta-merta tawaku meletus setelah aku cuba menahannya sejak dari tadi. Usikan Zam dengan memanggilku sayang sebentar tadi benar-benar menggelikan hatiku.

Apalah Zam ni, panggil Eida sayang pulak. Dah buang tabiat ke? Zam ni demam ke? Kalau demam, boleh Eida temankan Zam jumpa doktor, balasku sambil mengusiknya.

Tapi kan, Eida rasa tekak Eida ni loya semacam aje. Eida rasa tekak Eida nak terkeluar aje bila dengar Zam kata macam tu tadi, sambungku pula sambil ketawa.

Ha.. kan dah senyum tu. Siap ketawa lagi. Kan ke betul kata Zam, bila Eida ketawa dan ditambah pula dengan senyuman Eida yang manis tu, serta lesung pipit yang dalam tu, alam ini akan terus ceria, usik Zam lagi tanpa membalas kata-kataku sebentar tadi.

Dahlah tu Zam, janganlah usik Eida lagi. Balasku dengan nada yang manja.

Ok, Ok! Zam tak akan usik Eida lagi. Maafkanlah Zam ye, Eida. Zam janji Zam tak kan ulangi lagi. Aku memandang mukanya sekilas. Kesian pula aku tengok mukanya yang ingin meminta simpatiku itu.

Takkan maaf aje kut. Tak ada apa-apa ke, balasku dan ingin lagi jual mahal.

Oklah. Apa saja yang Eida mahu Zam akan tunaikan. Cakaplah apa dia.

Kalau Zam dah kata macam tu, apa kata kalau Zam belanja Eida makan di gerai-gerai, takpun pergi KFC. Balasku mengusik.

Amboi, amboi ! Lebih-lebih pulak dia ni. Orang bagi betis, dia nak peha.

Bukan ke Zam dah janji, yang Zam akan tunaikan apa saja yang Eida minta. Tak adillah kalau macam ni.

Oklah, Zam boleh belanja Eida makan. Tapi tak bolehlah di KFC. Nanti overlah bugdet Zam bulan ni. Tapi. Kalau. di kantin tu bolehlah, ujar Zam mengalah.

Oklah, kantin pun kantinlah. Asalkan ada orang yang nak belanja Eida hari ni sudah. Selamat duit poket Eida hari ni. Kalau camtu, apa yang nak ditunggu lagi. Jomlah kita pergi, kalau tak nanti habis pulak makanan di sana. Nanti terlepas peluang untuk makan makanan yang dibelanja orang.

Begitulah kami hari-hari. Kalau sehari kami tidak bertengkar, kami mengibaratkan dunia ini seperti kekurangan sesuatu yang amat berharga dan tidak ternilai. Aku dan Zam boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku. Kami tidak dapat dipisahkan lagi dan saling bantu-membantu dalam segala hal. Tapi, ada kalanya pula kami seperti anjing dengan kucing. Pantang kami bersua muka, pasti ada saja yang ingin ditengkarkan. Kawan-kawan dan semua orang yang mengenali diri kami akan berasa pelik dan hairan dengan telatah dan perbuatan dalam perhubungan kami. Sekejap berbaik, sekejap bermusuh. Orang lain tidak akan dapat memahaminya. Hanya kami sahaja yang memahami tentang perhubungan kami.

Sebenarnya, aku dan Zam telah lama berkawan, sejak kami berumur 5 tahun lagi. Kami selalu berada dalam kelas yang sama daripada sekolah rendah sampai sekolah menengah. Kami telah masak dengan perangai masing-masing. Tiada lagi rahsia antara kami. Kami seringkali berkongsi problem. Zam adalah teman yang pernah mengusap air mataku yang gugur pada waktu aku dilanda kesedihan. Selain itu aku juga menjadi pendengar paling setia pada cerita-ceritanya yang gembira mahupun yang pilu.

Tahun ini kami akan menduduki exam yang bakal menentukan masa depan kami, iaitu SPM. Kami mempunyai impian dan harapan yang sama, iaitu kami ingin menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi pada suatu hari nanti.
Kami juga turut berkongsi hobi yang sama. Di Sekolah Menengah Sains Damansara Utama ini, semua guru mengenali kami. Bolehlah dikatakan kami famous di sekolah. Kami famous bukan kerana masalah disiplin tapi kerana kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum kami.

Setiap tahun aku dan Zam sentiasa menjadi pelajar terbaik di antara tingkatan di sekolah kami. Walaupun pada hakikatnya taraf kehidupan kami amat jauh bezanya ibarat langit dengan bumi tapi aku tidak sesekali memandang rendah kepadanya. Zam tinggal di rumah teres kos rendah di kaki bukit, manakala aku pula tinggal di dalam sebuah villa tiga tingkat di puncak bukit yang berhampiran dengan rumah Zam. Ayah dan ibu Zam hanyalah pekerja kilang di bandar metropolitan ini. Zam adalah anak yang kedua daripada enam orang adik beradik yang masih kecil. Berlainan pula dengan aku, papa seorang tokoh korporat yang berjaya. Mama pula seorang peniaga butik yang terkenal di ibukota ini. Aku pula merupakan anak tunggal dalam keluargaku.

Sungguhpun begitu aku bersyukur kerana walau sesibuk manapun mama dan papa bekerja, mereka tetap dapat meluangkan masa untukku dan selalu bertanyakan apakah peristiwa yang telah berlaku di sekolah setiap hari. Mereka juga tidak menghalang aku untuk berkawan dengan sesiapa pun. Aku tidak berlagak seperti kawan-kawanku yang datang daripada keluarga berada. Aku tetap naik bas sewaktu pergi dan balik sekolah walaupun pada awalnya dilarang oleh mama.

Memandangkan exam sudah hampir tiba, kami sering study bersama-sama di bawah pokok sena di hadapan rumah Zam. Suasana di situ nyaman dan menyegarkan membuatkan kami selesa membuat homework dan disscus tentang pelajaran kami. Minggu bertukar menjadi bulan, bulan berganti bulan, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh setiap calon SPM. Kertas yang bakal kujawab nanti akan menentukan nasibku kelak. Adakah aku akan berjaya untuk mencapai impianku yang kugantungkan setinggi lelangit rumah itu?. Tanggal 10 November 2001 adalah tarikh keramat semua calon SPM seluruh Malaysia.

Sebelum pergi ke sekolah seperti biasa dengan Zam, mama dan papa tidak lupa memberi kata-kata semangat dan perangsang buat kali yang terakhir kepadaku. Pada mulanya mama dan papa ingin menghantarku ke sekolah, tapi aku menolak dengan lembut dengan alasan tidak mahu menyusahkan mereka berdua di samping aku ingin menemani Zam.

You can do it, honey. I know you can. Trust me. Try your best. Ingat Allah banyak-banyak, ye. This is very important for your future. May god bless you, Mama berpesan sambil mengucup dahi dan pipiku dengan penuh belaian kasih sayang seorang ibu.

Ingat Allah banyak-banyak. Sebelum masuk dewan baca doa dan ayat kursi dulu. Jawab dengan tenang. Jangan gopoh, ye honey, nasihat papa pula sambil mengucup mesra dahiku. Aku rasa terharu dengan segala kata nasihat dan perangsang mereka berdua. Aku rasa sungguh bertuah kerana dikurniakan seorang ibu dan ayah yang benar-benar menyayangiku. Dalam diam-diam aku sematkan jauh di dalam sudut hatiku untuk cuba dapatkan 15A1 dalam exam yang bakal kujawab nanti. Hari ini dengan penuh semangat dan sedikit gementar aku melangkah ke dewan peperiksaan untuk mengambil exam.

Sudah dua minggu peperiksaan SPM berlalu, Zam tidak lagi bertandang ke rumahku. Ke mana Zam pergi ni? Sudahlah batang hidung dia pun tak nampak, bila aku call dia, adik dia bagitau dia tak ada. Tapi... bila aku tanya ke mana dia pergi adik dia kata tak tau. Hai. Sungguh hairan bin ajaib kepala aku ni. Tak pernah-pernah dia buat macam ni. Bila aku pergi rumah dia pun macam tu juga. Mak cik Rosnaini bagitau dia tak ada di rumah.

Tapi yang heran tu bila aku tanya ke mana Zam pergi dia kata tak tahu. Takkanlah dengan mak dia pun Zam berahsia. Zam manalah kau pergi ni, aku jadi tak tentu hala bila tak jumpa kau tau. Tak pernah pun dia berperangai macam ni.

Mama dan papa pun naik hairan dengan perubahan sikapku yang begitu mendadak. Aku sepatutnya bergembira dengan cutiku yang telah pun bermula. Cadangan mama dan papa untuk mengajakku pergi melancong ke overseas pun aku tolak semata-mata disebabkan Zam. Takkan aku nak bergembira dikala Zam entah ke mana hilangnya. Aku dapat rasakan Zam ada problem yang tidak dapat diselesaikan lalu dia melarikan diri dariku. Dia tidak akan dapat membohongi diriku apabila kami bersua muka di kala dia di dalam kesusahan kerana aku begitu bijak membaca riak wajahnya apabila dia ada masalah.

Kenapa Zam buat perkara yang bodoh ini? Tapi mungkin juga aku ada salah apa-apa. Tapi apa salah aku hah? Setahu aku bila dia nak marahkan aku dia terus-terang saja. Apa nak jadi dengan Zam ni. Satu berita pun aku tak dengar. Minggu ni dah nak masuk minggu ketiga cuti, tapi bayang-bayang dia pun aku tak nampak. Zam Zam, manalah kau pergi ni? Aku rindukan kau, tau. Aku nak dengar suara dan usikan kau yang bersahaja tu. Tolonglah hubungi aku Zam. Aku amat terasa kehilangan kau.

Pada petang Sabtu lalu, pada minggu keenam cuti, kedatangan abang Syafiq, iaitu abang Zam ke Anggerik Villa ini dengan muka dan pakaian yang tidak terurus tetapi nampak tenang itu benar-benar meruntun hati dan naluriku. Barulah aku faham kenapa aku tak nampak Zam sejak lima minggu yang lalu. Rupa-rupanya Zam sedang menderita dan berlawan dengan penyakit yang dihidapinya sekarang, iaitu leukemia. Sudah lima minggu Zam dimasukkan ke Hospital Putrajaya.

Kenapa abang Syafiq tak bagitau kat Eida awal-awal yang Zam telah dimasukkan ke hospital dan ada penyakit leukemia, Kataku terkilan sambil menangis selepas abang Syafiq habis berkata-kata.

Bukan kami sekeluarga tak nak bagitau. Tapi itu adalah kehendak Zam sendiri. Abang kadang-kadang kesian tengok kau selalu telefon dan datang ke rumah kami untuk berjumpa dengan Zam, tapi kami tak ada pilihan lain melainkan terus merahsiakan
daripada kau, Eida. Mengenai penyakitnya pula kami sekeluarga baru tahu beberapa minggu yang lalu, itupun selepas abang berkeras dengan doktor yang merawat Zam tu supaya bagitau apa sebenarnya penyakit Zam tu, terang abang Syafiq lagi dengan panjang lebar.

Habis ada berapa lama lagi jangka hayat dia? papa menyampuk setelah dia berdiam diri untuk beberapa ketika. Abang Syafiq menarik nafas panjang lalu melepaskan kembali sebelum mampu menjawab soalan papa tadi

Mengikut kata doktor., dia hanya mampu bertahan untuk beberapa hari saja lagi. Doktor sudah tak mampu lagi untuk berusaha. Mereka menyuruh kami supaya bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Mereka juga menyuruh kami berserah kepada Allah. Mereka juga berpesan supaya tunaikan segala kemahuan dan permintaan Zam. Syafiq ke mari pun kerana ingin tunaikan permintaan Zam yang terakhir. Dia teringin sangat nak berbicara dan berjumpa dengan Eida. Itupun kalau Datuk dan Datin tak keberatan.

Aku terus menangis tersedu sambil memeluk mama. Aku tahu aku bakal kehilangan orang yang kusayangi. Aku juga tahu betapa deritanya Zam sekarang ni. Mama membelai rambutku dengan penuh kasih sayang.

Makcik dan pakcik takkan halang. Pergilah Eida, tunaikanlah permintaan Zam yang terakhir ni. Sabarlah sayang. Dia perlukan sokongan daripada Eida. Mama dan papa akan mendoakan keselamatan Zam, mama memberi kebenarannya sambil memberi kata-kata semangat kepadaku.

Sebaik sahaja aku sampai di bilik pesakit yang tertera nama Hafiz Redzuan Hanizam, aku terus meluru masuk tanpa sempat dihalang oleh seorang jururawat di situ. Aku terperanjat apabila melihat keadaan Zam yang tidak ubah seperti mayat hidup. Kepalanya tidak lagi dilitupi dengan rambutnya yang hitam berkilat dan terbelah dua. Aku tidak dapat lagi menahan rasa sebak yang kian mengasak di dalam dadaku sejak aku melangkah kaki ke bilik ini tadi. Mujurlah pada ketika ini Zam sedang tidur. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu Zam melihat aku menangis. Selepas keadaan aku kembali tenang, aku menanti dengan penuh sabar di sisi katil Zam. Zam tersedar setelah hampir lima belas minit aku berada di sisinya. Dia menggagahkan dirinya untuk menguntumkan sebuah senyuman kepadaku. Aku membalasnya walaupun aku dapat rasakan senyumanku terlampau hambar.

Kenapa Zam jadi seorang yang kedekut? Kenapa Zam tak bagitau Eida tentang penyakit Zam ni? tanyaku memulakan bicara setelah dia menegurku dan aku membalas dengan seadanya. Zam tersenyum kelat sambil mengeluh bagaikan ingin melepaskan segala penderitaan yang ditanggungnya itu.

Kalau Eida nak tahu, Zam memang seorang yang kedekut. Zam tak mahu orang lain berkongsi derita yang Zam tanggung selama ini. Biarlah Zam sendirian menghabiskan sisa hidup Zam yang masih berbaki lagi. Ujar Zam dengan nada yang sayu sekali. Suara itu mengandungi seribu derita yang tidak berkesudahan. Aku hampir-hampir menangis di depannya tetapi kugagahi juga supaya air mataku tidak tertumpah di depannya.

Sejak bila pula Zam jadi macam ni. Selama ni kan kita selalu kongsi problem. Jika Eida ada problem Zamlah yang tolong settlekan untuk Eida. Tapi kenapa bila Zam ada problem Zam sorokkan.

Masa dan keadaan boleh mengubah sikap dan sifat seseorang, Eida. Jika dulu Zam bagi nasihat kat Eida supaya optimis dan berfikiran positif, sekarang Zam tak ada lagi kekuatan itu. Zam ingatkan Zam boleh harungi penderitaan ni seorang diri, tapi rupanya tidak. Zam amat perlukan Eida untuk tanam kembali kekuatan yang kian rapuh dalam diri Zam ni. Eida amat penting dalam hidup Zam.

Suasana sunyi kembali bermaharajalela di dalam bilik ini buat seketika. Abang Syafiq yang menemani aku masuk tadi hilang entah ke mana. Kini di dalam bilik ini hanya aku dan Zam sahaja yang ada. Setelah beberapa ketika aku memulakan semula perbualan yang terbengkalai tadi. Pelbagai topik kami berbicara seperti hal sekolah, kawan-kawan, zaman kanak-kanak, impian kami dan macam-macam lagi. Pada malam itu, Zam memang banyak mulut. Dia tetap hendak bercerita macam-macam walaupun pada mulanya aku menegahnya. Tapi dia tetap hendak bercakap denganku atas alasan takut tak sempat lagi. Kami terus berbual sehinggakan kami tidak sedar bila kami terlelap.

Pada keesokan harinya Zam telah dulu bangun sebelum aku. Aku tertidur di sisi katil Zam.

Eida, ingat tak rumah kristal yang kita lihat di Mahkota Parade tahun lepas sewaktu kita pergi lawatan ke Melaka dulu, Zam memulakan bicara sesudah kami bersarapan bersama.

Yang mana satu? Mmm Oh, rumah kristal tu. Ye ye baru Eida ingat. Rumah kristal tu memang Eida berkenan sangat, tapi.. masa tu Eida tak cukup duit nak belinya. Pada masa tu memang Eida terkilan sebab tak dapat membelinya. Kenapa Zam tanya?

Cuba Eida buka laci yang kedua itu, kata Zam tanpa menghiraukan pertanyaanku tadi sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah laci tersebut. Aku membukanya lalu terpana sebentar dengan apa yang aku lihat.

Patutlah Zam tanya tadi, rupa-rupanya dia telah membelinya. Aku sungguh terharu dengan apa yang Zam telah buat. Rumah kristal ini harganya mencecah ribuan ringgit tapi Zam telah membuang duit begitu saja semata-mata untuk memenuhi impianku yang tidak aku jangkakan. Aku tidak dapat menyembunyikan rasa terharuku dengan semua ini. Tanpaku sedari manik-manik halus yang jernih mengalir ketika aku mengucapkan terima kasihku yang tidak terhingga kepada Zam.

Tepat jam 12.00 tengah hari, Zam telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisiku serta kaum keluarganya. Zam pergi dengan tenang melepaskan kesemua penderitaan yang telah ditanggungnya selama ini. Aku cuba berlagak tenang tapi dari kelopak mataku, mutiara jernih mula menitis tanpa kusedari. Zam telah pergi untuk selama-lamanya dan tak akan kembali lagi.

Aku teringat warkah yang Zam tinggalkan untukku yang belum kubaca. Dengan perlahan-lahan aku mengoyak sampul biru itu lalu warkah yang berwarna biru lembut itu kutatapi dan kubaca.

Eida,

Terlebih dulu Zam ingin meminta ampun dan maaf seandainya kehadiran warkah ini akan membuatkan kehidupan Eida tidak lagi tenang. Sebetulnya apabila Eida membaca warkah ini, Zam tentunya sudah berada di alam lain dan terasing untuk semua manusia di muka bumi ini. Zam sekali lagi ingin memohon ampun dan maaf kerana telah merahsiakan penyakit yang telah Zam alami ini.

Untuk pengetahuan Eida, Zam tahu Zam menghidap penyakit leukemia ini pada tahun lepas. Pada masa itu doktor ada beritahu penyakit ini masih boleh diubati kerana masih di peringkat pertengahan. Zam bukannya tak mahu berubat, tapi Eida fahamlah macam mana keadaan kewangan keluarga Zam. Zam tak mahu menyusahkan ayah dan ibu Zam. Kebetulan pada masa itu abang Syafiq amat memerlukan duit untuk pergi ke universiti.

Bayaran perubatan untuk mengubati Zam ini mencecah ratusan ribu ringgit. Manalah ayah dan ibu Zam ada duit sebanyak itu. Sebab itulah Zam biarkan saja penyakit ini merebak. Kalau Eida nak tahu, tiap-tiap hari Zam terpaksa menelan pelbagai jenis ubat tahan sakit. Zam terseksa Eida. Hanya Allah saja yang tahu betapa sengsaranya Zam mengharungi penderitaan ini seorang diri. Kadang-kadang Zam terfikir kenapa Allah tidak mengambil terus nyawa Zam ini agar penderitaan yang Zam tanggung selama ini berakhir, tapi Zam kuatkan semangat Zam untuk terus menjalani kehidupan ini dengan penuh optimis. Zam selalu berdoa agar Zam pergi dengan tenang dan dalam iman. Walaupun jauh di dalam sudut hati ini, Zam tidak rela melepaskan apa yang akan menjadi milik kita, tapi kalau ini sudah suratan takdir Zam pasrah menerimanya. Zam telah banyak menderita. Izinkanlah Zam pergi dengan tenang. Jangan lagi ditangisi pemergian Zam ini.

Eida

Zam nak beritahu satu rahsia yang telah lama Zam simpan di dalam lubuk hati ini. Sebelum itu, sekali lagi Zam ingin memohon berjuta-juta kemaafan seandainya apa yang akan Zam nyatakan di sini bakal mengguris hati dan perasaan Eida. Perkara ini telah lama Zam simpan dan tidak mampu Zam luahkan. Biarlah Zam luahkan di atas warkah ini saja.

Sebenarnya Zam telah lama menyimpan satu perasaan terhadap Eida. Perasaan ini amat sukar untuk ditafsirkan. Zam sendiri pun tidak menyedarinya bilakah perasaan itu hadir. Zam tahu dengan adanya perasaan ini persahabatan kita akan mula tak tentu hala. Zam juga takut akan natijahnya nanti bila Zam luahkannya. Zam amat takut persahabatan kita juga akan hancur berkecai begitu saja. Sebab itulah Zam banyak kali menafikannya. Tapi hati dan perasaan Zam tidak boleh menipu diri ini. Zam betul-betul menyayangi Eida lebih daripada seorang sahabat. Kalau boleh Zam tak rela Eida bersama dengan orang lain kelak selepas Zam tiada di dunia ini lagi. Tapi siapalah Zam untuk menghalang Eida. Zam tak sanggup untuk memikirkan dengan siapa Eida akan bersama kelak. Tapi, Zam tahu Zam tak boleh pentingkan diri sendiri.

Alangkah bahagianya Zam kalau Eida pun mempunyai perasaan yang sama seperti apa yang Zam alami sekarang. Zam tak sempat nak tahu apakah perasaan Eida terhadap Zam.

Eida, Zam sekali lagi minta maaf andai kata-kata Zam tadi menghancurkan hati Eida. Zam tidak pandai bermadah pujangga seperti seekor pungguk rindukan bulan tapi Zam amat berharap kalau Eida boleh memahaminya. Rumah kristal yang Zam hadiahkan itu diharap Eida jagalah baik-baik. Kalau Eida teringatkan Zam tenungkanlah rumah itu, pasti rindu Eida akan terubat.

Zam tahu, Zam akan pergi sebelum sempat ambil result SPM, jadi Eida tolonglah ambilkan untuk Zam. Zam harap impian dan harapan yang kita gantungkan setinggi lelangit rumah itu dapat Eida capai walaupun tanpa Zam di sisi. Zam tidak lagi menaruh sebarang harapan. Sama ada baik atau buruk result itu nanti sudah tidak berguna lagi apabila Zam pergi nanti. Zam cuma berharap dan mampu berdoa agar cita-cita Eida untuk menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi itu mampu Eida capai. Cuma satu harapan Zam, Eida jagalah diri Eida baik-baik. Tolonglah tengok-tengokkan keluarga Zam di rumah. Janganlah suka bertindak mengikut nafsu. Ikutlah suara hatimu yang baik itu. Janganlah ditangisi pemergian Zam ini. Zam nak tengok senyuman Eida sentiasa menghiasi bibirmu yang mungil itu. Untuk kesekian kalinya Zam ingin memohon ampun dan maaf yang tidak terhingga.

Terima kasih kerana selama ini Eida menjadi sahabat Zam yang amat memahami diri ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Selamat tinggal, sayangku.

Assalamualaikum

Sahabatmu,
Zam
(27/12/2001 11.30 mlm)

Aku tidak dapat lagi menahan sebak yang sedang hebat melanda diri ini. Aku menghamburkan segala-galanya. Kebetulan pada masa ini radio yang sedang terpasang sejak dari tadi memutarkan lagu Salam Terakhir nyanyian Sudirman. Itu adalah salah satu lagu yang amat Zam suka semasa hayatnya.

Aku terus menangis tersedu apabila mengingati Zam. Zam, pergimu dengan penuh tragis. Tempatmu di dalam hatiku dan tidak akan ada sesiapa pun yang mampu menggantikannya. Jauh di dalam sudut kamar hatiku, aku juga mempunyai perasaan yang sama seperti yang Zam alami. Jangan bimbang Zam, selagi nadi ini berdenyut, selagi darah dalam tubuh ini mengalir tidak akan ada sesiapapun yang akan merampas Eida dari diri Zam. Eida berjanji di hadapan Rumah Kristal ini. Eida akan teruskan kehidupan ini demi Zam. Eida akan merialisasikan impian kita berdua walaupun tanpa Zam di sisi.

Tunggulah suatu hari nanti Eida akan menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi. Nama Nurul Juliana Shahidatul Dursina akan seiring dengan nama doktor-doktor pakar bedah dari luar negara. Eida akan bina hidup baru dengan setiap kenangan kita berdua. Zam tidak akan Eida lupakan buat selama-lamanya. Pemergian Zam tidak akan lagi Eida tangisi.
Eida pasrah dengan segala-galanya. Dengan perlahan-lahan aku melangkah ke bilik air untuk menunaikan solat sunat pada dinihari ini. Aku ingin mendoakan kesejahteraan Zam di sana agar Zam berbahagia dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang Allah kasihi...



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard