Kak! surat! Terlepas jeritan kecil bersama derap buku-buku rujukan berlaga di dada lantai. Baru hendak melangkah keluar dari kelas bersama Midah tiba-tiba sahaja aku telah diterpa oleh Shazwan. Dia memang selalu begitu.
Nak suruh akak mati cepat ke? Kurang asam betullah adik ni, bentakku sambil duduk mencangkung untuk mengutip buku-buku yang bertaburan. Aku pasti Shazwan mesti berniat untuk menyakat aku seperti kebiasaannya yang dilakukannya. Geram betul aku dengan adik angkat kesayanganku ini.
Maaflah kak. Wan betul-betul tak sengaja. Wan nak cepat sebenarnya, Segera wajah comel itu kutatap. Kasihan pula melihat dirinya yang serba salah. Aku yang lemah semangat, adik aku pula yang jadi mangsa.
Tak boleh lama ni, dia kirim salam. Wan balik dulu ye! Sampul warkah berwarna kuning air bertukar tangan. Tersekat suaraku di kerongkong apabila Shazwan terus bergegas mendapatkan bas sekolah yang sudah berkali-kali membunyikan hon amaran.
Dia?
Warkah yang berada di pegangan kurenungi tajam sambil fikiran ini ligat berputar. Kuning air! Ah! Pemuda itu!
Kenapa? Syameer ye?
Aku mengangguk lesu. Memang Midah telah mengetahui segala-galanya tentang Syameer. Tidak sedikit pun aku lindungkan dari pengetahuan teman rapatku itu mengenai Pelajar Tingkatan 6 Atas yang tidak jemu-jemu mencuba untuk memenangi hatiku. Dan seperti biasa Midah mula memberi ceramah percuma di atas sikapku yang terjal menolak salam perkenalan dari pemuda itu.
Apa yang kurang? Selalu Midah bertanya begitu. Entahlah. Wajah dan perlakuannya yang sentiasa tenang memang cukup sempurna di mataku. Apatah lagi kecemerlangannya dalam akademik dan sukan terserlah walaupun baru berpindah ke sekolah ini. Cuma, hatiku sahaja yang kurang. Kurang kerana sebahagiannya telah dicuri oleh seseorang yang kusayangiZaihan
-
Peristiwa lima bulan lepas masih segar di ingatan. Kalaulah aku tahu kesilapanku itu bakal mengundang episod huru-hara dalam perasaan ini..sumpah! Memang aku akan elak dari melakukannya. Tapi, segala-galanya telah ditakdirkan. Waktu itu perasaan aku bercampur-baur antara geram, bosan dan gelisah.
Hampir dua jam aku menunggu pujaan hatiku di Holiday Plaza untuk menonton wayang. Puas aku ke hulu ke hilir macam kucing nak beranak tapi kelibat Zaihan masih tidak kelihatan. Perut yang berlagu merintih untuk diisi membangkitkan rasa sakit hati. Suasana di luar mulai kelam menandakan Maghrib menginjak. Tiada pilihan, aku berlalu menuju ke KFC, restoran makanan segera kegemaranku. Di dalamnya orang ramai sesak memenuhi ruang. Dulang yang kutatang tiada arah destinasi. Semua meja penuh kecualiAh! Bolehlah, janji dapat makan.
Boleh saya duduk sini? Tanpa menunggu persetujuan dari pemuda bertopi yang asyik meratah ayam, aku terus melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengannya.
Secebis senyuman kuhulur dan terus menikmati makanan yang kupesan tanpa berkata sepatah. Pelik, pemuda itu langsung tidak terkejut malah tersenyum manis memandangku. Aduhai! Kacaknya.
Ah! Peduli apa dengan kacak, kau tu tengah sakit hati tau tak! Segera aku menyumpah diriku dalam hati apabila menyedari senyuman pemuda itu sedikit menggoncangkan perasaanku. Terkocoh-kocoh aku cuba menghabiskan ayam goreng yang tidak dapat aku hayati kelazatannya di ketika itu. Tiba-tiba sesuatu yang tidak disangka-sangka telah menyebabkan aku tersedak. Dia menegur kerana aku makan terlalu laju dengan memanggil nama penuhku..Nurlisa Idayu! Berderau darahku mendengar kalimah itu.
Mana pemuda itu tahu namaku? Dia tersenyum lebar seraya menampakkan lesung pipitnya di kedua-dua belah pipi, aduhai! Memang memikat. Memikat??
Ahh! Kepala otak aku senget agaknya hari ini. Sunguh-sungguh aku terkejut apabila dia mengetahui segalanya tentang aku. Tentang kemerosotan pelajaranku, tingkah lakuku, segala kegemaranku, malah hubungan mesra antara aku dengan Zaihan pun dia tahu. Itulah yang aku pelik.
Dari mana dia tahu? Bertambah pelik apabila dia dengan selamba menyatakan hasratnya untuk berkawan lebih rapat denganku. Aku pun apa lagi, naik anginlah. Dia ingat kita ni siapa senang-senang nak goda? Salah oranglah!
Terus sahaja aku berlalu meninggalkan dirinya yang cuba untuk berkata sesuatu. Aku tak peduli. Jelas dia telah mengetahui hubunganku dengan Zaihan malah yang buruk-buruk tentang aku pun dia tahu tapi kenapa dia masih nak? Ah? Pening kepala aku dengan tingkahnya.
Sejak hari itu, Syameer tidak jemu-jemu mencuba. Suart, pelbagai cara digunakan untuk disampaikan kepadaku. Salam, enath siapa-siapa sahaja menjadi suruhannya untuk dikirimkan kepadaku. Dan setakat hari ini, tiada satu surat pun yang pernah kubaca dan salamnya pun kusambut hanya di dalam hati.
Biar dia marah, biar dia hampa. Aku tak peduli apa yang dia rasa. Yang penting aku akan memastikan bahawa aku adalah pencinta yang setia. Midah selalu jadi saksi.
-
Peperiksaan SPM semakin hampir menjejak tiba.
Aku mula menumpukan sepenuh perhatianku terhadap pelajaran. Zaihan juga sudah lama tidak kutemui. Permintaan darinya sendiri yang sanggup berkorban menahan rindu semata-mata memberi laluan kepadaku agar lebih selesa untuk menelaah pelajaran. Terasa benar diri ini disayangi. Namun takdir Tuhan memang tidak terduga. Suatu hari di hujung minggu, secara tidak sengaja aku telah menyaksikan satu sandiwara yang selama ini langsung tidak terlintas di fikiranku. Kalau tidak kerana buku rujukan yang Midah pinjam belum dipulangkan, aku tidak tahu langsung bahawa selama ini Midah punya teman study baru.
Pelik mendengar penjelasan ibu Midah bahawa temanku itu pergi ke rumahku untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran sejak dua jam yang lepas. Tergagap-gagap aku mengalaskan kata ibu Midah yang tidak menyedari keadaan yang sebenarnya.
Pada mulanya aku fikir tentu Midah singgah ke rumah kawanku yang lain atau ke sekolah bagi menyiapkan tugasannya menyelia Bilik Kaunseling. Segala tanggapanku ternyata salah sama sekali sebaik sahaja melihat kemesraan 2 merpati sejoli melangkah seiringan sambil berpegangan tangan di Plaza CS. Entah bagaimana hatiku tergerak untuk ke sana. Dan tidak kusangka bahawa sandiwara inilah yang dapat aku saksikan di kala itu! Semangatku melayang jauh. Berderai air mataku saat itu juga.
Midah dan Zaihan. Dua insan yang amat aku sayangi sanggup mengkhianati diriku. Sampainya hati mereka! Kristal cinta yang selama ini indah menghiasi takhta perkasihan pecah berderai menjadi serpihan kaca yang tajam menikam. Lantas mengalirlah darah pada sekeping hati yang pedih terluka milikku.
Alhamdulillah.akhirnya berjaya juga aku menjejakkan kaki ke menara gading dan sekaligus meraih kejayaan di atas segala usaha serta pengorbananku selama ini. Sejurus berjaya menamatkan pengajianku di IPT, aku mendapat tawaran untuk menjawat jawatan yang agak tinggi di sebuah syarikat penerbitan di bandar raya ini.
Syukurlah kerana segala usaha aku selama ini telah menunjukkan hasilnya. Sesungguhnya aku bersyukur kepada Yang Maha Esa. Walaupun keputusan SPM ku agak teruk gara-gara nanar diulit kekecewaan, semangatku kembali pulih dengan membaca barisan kata azimat yang disusun ringkas pada setiap warkah Syameer yang selama ini tidak pernah kuendahkan.
Hidup ini hanya akan indah jika sirna cita dan tulus cinta diganding seiring ~ Syameer
Aku malu sendiri kerana selama ini menyangka Syameer ingin memikat hatiku sedangkan definisi tindakannya jauh menyasar. Yang pasti salam perkenalan yang dihulur, menyedarkan diriku bahawa keindahan rasa yang membelai jiwaaa seharusnya dijadikan inspirasi untuk berjaya. Bukannya khayal dalam keasyikan irama cinta hingga mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang pelajar.
-
Dan kini bahagia lebih menghuni rasa sebaik sahaja aku dan Syameer yang telah kupanggil abang selamat diijabkabulkan pagi tadi setelah bertunang selama 3 bulan.
Tanggal 25 Disember sengaja kami pilih untuk hari bersejarah ini bersempena detik pertama perkenalan di antara aku dan Syameer.
Warkah bersampul ungu di atas bantal dalam bilik pengantin yang berhias indah ini kurenung sayu. Aku tahu siapa pengirimnya, tapi mungkinkah dirinya dilamar kecewa senada dengan lambang warna yang menjadi pilihannya itu?
Adik angkat aku Syazwan menghulurkan warkah itu sebaik sahaja aku dan Syameer selamat disandingkan petang tadi. Tidak kusangka sama sekali title adik angkat kini bertukar menjadi adik ipar.
Barulah terungkai persoalan bagaimana Syameer boleh mengetahui segala-galanya tentang diriku sewaktu bersekolah dahulu. Memang bijak dua beradik itu merahsiakan dariku. Perlahan pandanganku menterjemah ayat yang terukir indah di dada kertas berbau harum itu.
Ayu, Selamat Pengantin Baru..Sengaja aku tidak hadir meraikan hari bersejarahmu kerana rasa bersalah dalam diriku langsung tidak dapat kuusir. Mungkinkah inilah balasan Tuhan atas perbuatanku yang sanggup menikammu dari belakang. Aku mengkhianatimu, Ayu. Mengkhianati persahabatan kita! Dan kini hatiku berteman lara biarpun impianku menjadi suri hidup Zaihan terlaksana. Cintanyabukan hanya untuk diriku seorang. Doa setulusnya kuhulurkan sebagai hadiah agar dirimu sentiasa berbahagia di samping Syameer hingga ke akhir hayat. Untukku, cukuplah dengan meredai kelukaan di hati akibat daripada perbuatanku sendiri.
Yang Selalu Merindu, Midah
Air jernih mengalir membasahi di pipi . Tenyata jauh di sudut hatiku, aku juga merindui dirinya. Sejak peristiwa pahit itu berlaku, ternyata kami langsung tidak pernah bertegur sapa lagi. Begitu juga dengan Zaihan. Masing-masing seolah-olah mahu melupakan peristiwa pahit itu.
Tetapi tiada lagi api dendam merajai hati ini terhadap mereka yang pernah menyakiti hatiku suatu ketika dahulu. Saban hari aku menjadi semakin kuat untuk berhadapan dengan dugaan sebegini. Aku reda dengan segalanya yang telah berlaku. Dan aku pasrah menadah tangan apabila kenangan lalu kadangkala menyapa memoriku. Malah aku juga memanjatkan doa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana di sebalik kejadian itu tersisip hikmah yang tidak ternilai.
Hikmah yang menganugerahkan sebuah penghidupan lebih bermakna dan bahagia yang kini menjadi milikku. Kini aku benar-benar bahagia dengan anugerah dari Ilahi ini. Sirna cita dan tulus cinta menerangi indah mahliagai perkasihanku kini dan moga ia berkekalan buat selama-lamanya. Akan kulakukan yang terbaik demi kebahagiaan aku dan dia.
Terima kasih Tuhan di atas kurniaanMu ini dan seorang insan bernama Syameer itu akan setia kucintai selagi ada hayat dikandung badan. Aku yakin hubungan perkasihan yang tulus dan suci ini adalah milik kita berdua untuk selamanya.
__________________
aku manusia takut ke neraka... namun aku juga x pantas ke syurgaMU..