BARANGKALI ini bukan cerita pendek. Mungkin ia sekadar satu catatan perjalanan yang membosankan. Agaknya ia adalah kedua-duanya sekali. Pada saya ia sekadar satu muhasabah yang ingin juga saya kongsi bersama. Ramai orang mulai bertanya, kerana mereka tidak punya segan silu untuk mengetahui mengenai orang lain. Saya sedari usia saya sudah meningkat. Saya mahu mengingat semuanya kembali… Salji turun maha lebat pada malam ketibaan saya di Istanbul. Barangkali malam musim dingin memang begini, warnanya hitam kusam dan cuaca dingin menyebabkan telinga jadi beku kaku. Saya berhati-hati menempuh jalanraya yang licin lantaran salji seperti ais sagat sudah keras di permukaan. Sezgin yang memberitahu akan menjemput di lapangan terbang menepati janjinya. Malam sudah jam sembilan lebih apabila Metro tiba di kawasan berhampiran Sultan Ahmet. Di situlah pertama kali saya melihat Masjid Biru, di dalam malam kelam saat saya melangkah dengan sukar kerana beg serasa membebankan. Saya takut jatuh tersungkam kerana licin dan Istanbul yang sungguh lengang serasa mencengkam jiwa sekali, amat sunyi, cuma seorang pelancong Jepun yang menegur dan menyarankan hotel Emre tidak jauh dari perkarangan masjid. Saya lihat ada awan tebal warna kelabu merumbu di perut langit yang perlahan-lahan semakin hitam. Kala mengharung timbunan salji itulah saya terpandangkan seekor kucing gemuk mengesip-ngesipkan mata, menggoyang-goyangkan ekor di bawah pohon gondol, bulunya tebal kembang tetapi ia masih menggodekkan tubuh kesejukan. Saya memberi salam kepada kucing gemuk itu yang kemudian terangguk-angguk. “Aleykumsalam, selamat datang…selamat datang…” Saya mahu mengingat semula semua. Satu-satu. Dua minggu sesudah malam yang dingin itu, Sezgin dan Hamza menemani saya merayau di Taksim, kami membuat keputusan untuk solat Asar di Masjid Biru. Kami berjalan kaki setelah bas berhenti di Eminonu. Jauh bukan kepalang tetapi saya yang menuntut begitu, untuk melihat-lihat, kata saya. Mereka ikutkan kehendak saya.
Untuk membunuh bosan Sezgin sering melakukan aksi meluncur di atas jalan yang lembab, sesekali semacam ingin menunjuk, “Hoca lihat!” Laungnya cuba menghela perhatian. “Berhati-hati, nanti tergolek.” Saya lebih mengingatkan. Hamza sesekali mengepal salji di jalanan dan sengaja melontar kepada saya. Pura-pura saya merungut marah, kemudian ketika ‘askar’ terleka, saya pula mengepal ‘peluru salji’ untuk menyerang hendap. Apabila hampir tiba di Masjid Sultan Ahmet, saya melihat batu Iznik pada dinding dan kubah menyinarkan warna biru dalam celupan berwarna jingga petang Istanbul yang mempesonakan. Kami berlari-larian masuk ke perkarangan masjid. Saya terasa amat muda. Saya terlupa saya bukan sebaya dengan mereka. Tetapi jiwa saya seumur dengan mereka pastinya. Semakin dekat saya menghampiri pintu masuk semakin saya rasa Mehmet Aga memanggil, mari…mari… Saya menanggalkan but, mengetuk sisa salji yang melekat di tapak dan mengambil plastik yang memang disediakan. Kumpulan pelancong Jerman menyesakkan pintu masuk. Hamza merungut-rungut kerana bisingnya mereka mengganggu kedamaian masjid. Kami kemudian menunaikan solat bersama. Setelah solat kami terkelip-kelip melihat telatah pengunjung dan pelancong yang bergambar dan tertuding-tuding ke arah kubah dan tiang masjid. Kami bingkas. Saat Sezgin dan Hamza terkial mengenakan kasut, ketika itulah saya terpandangkan kucing gemuk yang sama. Aneh saya ditemukan semula dengannya. Ia masih mengenyitkan mata bertanya khabar, menggodek ekor semacam riang betul-betul di tepi pintu masuk, bulunya lebih lebat dari dahulu, ia menggaru-garu tubuhnya dengan kuku yang mengembang. Saya memberi salam. Kucing itu menjawab girang. Saya menghampirinya. Saya bukanlah penggemar kucing tetapi kucing gemuk ini mesti memiliki sesuatu hingga saya rasa amat dekat dengannya. Saya angkat kucing itu perlahan-lahan, mendukung hati-hati dan melekapkan pada dada. Saya agah dan acah-acahkan ia pula, seperti seorang bayi gebu yang menggeramkan. Ia menjilat tengkuk kiri saya. ‘Kerana cuaca, kita berdua sudah jadi terlalu gemuk.’ Kucing menggelitar di dalam pelukan saya. Jari jemari saya menggeletek perutnya. “Kau rasa sedih barangkali kerana masih keseorangan. Hoca, jangan begitu. Kau telah datang jauh beribu batu untuk menerima kebaikan. Tuhan yang telah mengilhamkan perjalanan ini dan menemukan kau dengan anak-anak itu. Tidak semua orang memahaminya. Malah mungkin ada yang akan berprasangka atau mengecam tidak faham. Anak-anak yang kau bimbing itu satu kebajikan. Anak-anak yang mahukan ilmu sentiasa sarat dengan kebaikan.” Kucing gemuk memandang tepat mata saya setelah omelan panjang. Ada gigi bertaring putih mengilat. Matanya sebelah hijau sebelah biru. Barangkali inilah baka kucing dari Van yang sudah pupus itu. “Bagaimana kau tahu semuanya kucing?” Ia terkekeh. “Hoca…” “Aku tidak layak digelar hoca.” Pintas saya. “Hoca…jangan pernah putus dari rahmat Tuhan.” Saya memeluknya, seperti bayi gemuk yang memerlukan kehangatan sambil menggetap bibir bawah. Dia tampak kemudian menggelisah dalam dakapan. Kucing, bukankah ia haiwan kesayangan di rumah-rumah kesufian? Malah kerap menunjukkan tanda kebesaran Tuhan dan keajaiban. “Ada banyak jalan menemui Tuhan hoca. Fudhail ‘Iyad pernah mengatakan – kalau Tuhan mencintai hamba-Nya, Allah akan membuatkan ia menderita, dan kemudian jika Allah mencintainya, Allah akan menguasainya tanpa keluarga juga tanpa harta.” Saya diam. “Ya kucing aku pernah mendengar kata-kata – Nikmat ‘Kecintaan’ yang dirasakan oleh para bujangan takkan dirasai oleh orang yang berkahwin.” Kucing itu memasukkan kukunya, menjalarkan hujung kakinya ke pipi saya. “Setiap hamba Tuhan datang dengan tugas berbeza-beza. Hoca, barangkali engkau datang untuk berbuat kebaikan yang lain di dunia. Jangan bersedih lagi, tugasmu hoca, carilah tugasan yang telah diamanahkan Pencipta kita itu. Kau akan menemuinya. Misi khas yang diciptakan untukmu itu. Dengar baik-baik, misi setiap manusia lain-lain, berbeza-beza, takkan sama. Pedulikan kata-kata orang. Anak-anak itu akan menolongmu.” “Nama kau kucing?” “Rumi.” “Hoca!” Sezgin separuh memekik. “Hati-hati nanti dicakar kucing gemuk itu.” Hamza mengambil kucing gemuk dari pelukan, mengampunya kemas dan meletakkan semula di sisi pintu, “Tugasmu sayang menjaga pintu ini. Dengan izin Tuhan jadikan hati para kafir yang datang menziarah Masjid ini penuh dengan Cinta.” Ujar Hamza pula. Kucing itu mengiau teruja. “Oh dia faham hoca!” Hamza keseronokan. Kucing gemuk menjilat bulu badan dan menguap, merenung Hamza pula. Kucing itu menggeliat seketika merenung saya dalam, “Nanti sampaikan salamku untuk Suleyman Hilmi”. “Kucing ini faham…kucing ini faham…” Tambah Hamza tak putus. “Ya dia faham.” Jawab saya lembut, menarik tangan Hamza. “Ayuh Sezgin, kita perlu tiba di Bakirkoy awal. Tidak lama sahaja lagi matahari akan terbenam. Cuaca akan menjadi lebih sejuk.” Kami bergerak meninggalkan Masjid Biru untuk terus gagah indah beberapa lama. Pengalaman dengan kucing gemuk mengisi cepu kepala buat sementara. Di dalam tren antara kunyahan biskut coklat Ulker, sengau suara pada lagu a Allah icindir dendangan Yusuf Islam dan gurau Hamza saya disapa suara, garau lemak bagaikan suara kucing gemuk itu. Ia bagai berkumandang jauh dari Konya. Sang pencinta aku datang untuk mengebumikan hatiku bukan di sisi jasadmu tapi dalam pelajaran cintamu aku datang, aku datang, kau yang mengundang aku datang setelah mengkhianati ratus janji aku akan datang lagi mencari – bukan di taman-taman Meram atau pada alun muzik mendayu bukan pada butir tasbih atau rajut sajadah aku datang aku datang untuk bermula barangkali aku nanti tak ke mana tapi Cinta akan memimpinku lambat-lambat tak mengapa akanku simpan ia jadi rahsia bila aku menemuinya seperti si dahaga meneguk air dan air kan memuas si haus.
Saya menekuni isi PDA, menyunting sendiri beberapa puisi. Saya tidak pandai menulis puisi. Sesekali melempar pandangan ke luar jendela. Gugus salji jatuh dari langit. Saya terlantar seketika ke alam lain. Adakah ini satu kausaliti yang aneh? Atau hidup telah memasuki satu fasa tanpa hukum sebab dan akibat seperti cerita ini? Beberapa malam saya sudah bermimpi berada di hadapan pusara Suleyman Hilmi Tunahan. Saya nampak peta Bulgaria dan Romania terbalik melebar, melingkar membentuk peta Malaysia. Ia ibarat susu tumpah di atas lantai. Saya mendengar berkali-kali di hujung cuping kalimat hizmet. Saya ternampak-nampak pula kopiah putih di kepala berganti dengan kopiah berwarna biru tua. “Hoca jatuh cinta dengan kucing betina.” Usik Hamza separuh menyergah. Saya sengih mendiamkan diri bahawa kucing itu sebenarnya jantan bernama Rumi. Sezgin senyum terkulum seperti biasa. “Ayuh sedia, kita hampir tiba.” Saya gigit bibir kemudian bersuara lembut, “Sezgin dan Hamza nanti bawakan saya ke Uskudar. Saya mahu menziarah makam Ustaz Suleyman Effendi. ” Mereka berpandangan. Hamza mengenyit mata sebelah sementara Sezgin angguk tanda ‘tentu, tiada masalah’. Tren terus membelah pusat Istanbul yang kedinginan menuju Bakirkoy. Saya mahu mengenang setiap lampir-lampir keanehan itu sendiri-sendiri hari ini. Pada pagi yang semakin panas, pada awal ilkbahar yang mula tampak menggiurkan, beberapa bulan sesudah saya meminta untuk dibawakan ke makam Suleyman Hilmi Tunahan, saya kini berdiri di hadapan pusaranya. Saya rasa hati kembang, saya rasa mata merah memedih, saya rasa hidung berair, saya rasa diri mengerdil. Suleyman Hilmi Tunahan, Suleyman Hilmi Tunahan, Suleyman Hilmi Tunahan. Nama itu bergema-gema menakluk gegendang telinga. Suleyman Hilmi Tunahan. Nama itu mengasak pendengaran sehingga setiap yang terngiang seakan membawakan namanya. Suasana sunyi di perkuburan itu sesekali dimeriah kicau burung berzikir mengingat Allah dan deru lori atau bas di seberang jalan menyebabkan ia kedengaran saling tingkah meningkah. Bunga-bungaan telah mula berputik, mawar lambat-lambat menguntum dan desis beberapa pelajar mengundur hati-hati jangan sampai memunggungkan pusara ikut berkisar mengacah deria-deria saya. Hamza khusyuk berbisik melafaz surah Yaasin di sisi. Setelah mendapat tesbih saya perlu belajar mendapatkan nur. Saya perlu bekerja, bekerja, bekerja… "Kita tidak punya urusan dengan wang, jawatan dan kedudukan, politik, perselisihan dan kekecohan. Kita hanya berazam untuk memberikan pendidikan kepada setiap anak orang-orang Islam tanpa sebarang pengecualiaan.” Slogan pelajar-pelajar Suleyman Hilmi Tunahan masuk bertakhta di dalam jiwa. Rasa haru, sebak dan kasih sayang ini bukan kerana semata-mata beliau memiliki gelar seyyid dan sharif serentak tetapi kerana perjuangan berliku yang harus beliau tempuhi untuk membolehkan ajaran al Quran berkembang di saat-saat sekularisme merasuk jahat setiap isi rumah orang Islam. Tahunnya, tahun 1924, tahun umat Islam membenarkan sekularisme menceroboh hidup mereka. Kemal Attaturk mengemukakan undang-undang yang memusnahkan pembelajaran agama. Satu demi satu madrasah ditutup. Suleyman Hilmi Tunahan berdiri seorang diri memperjuangkan supaya al Quran masih diajar kepada anak-anak orang Islam. Oleh kerana mara bahaya yang menyekat guru-guru agama, Suleyman hoca membawa murid-muridnya bersiar di dalam pengangkutan awam dan mengajar al Quran di dalam teksi, bas juga tren. Suleyman hoca juga berkitar di pasar-pasar sambil menanyakan buruh-buruh yang wajar, ‘Beritahu aku duhai anak berapa yang kau mahu?’, ‘Satu lira memadai untuk hari ini’, ‘Mari ikut bersamaku untuk mempelajari al Quran dan agama Islam, aku akan beri kamu tiga lira.’ Inilah asasnya khidmat, inilah dasarnya hizmet, Islam mesti terus berkembang, terus, dan mesti ada orang yang berkorban memilih untuk melakukannya, seperti Suleyman hoca. Suleyman hoca. Suleyman Hilmi Tunahan. Inilah antara guru-guru yang belajar dan terasuh di sekolah yang menindas, graduan sekolah Yusuf . Suleyman hoca sudah terlalu tua saat dikurung di dalam penjara Kütahya, dia sudah terlalu tua saat diseksa di ibu pejabat polis Istanbul kerana mengajar al Quran dan difitnah memimpin gerakan agama untuk menjatuhkan kerajaan Turki saat itu. Suleyman Hilmi Tunahan. Saya sedang menziarahi pusaranya dengan rasa rendah diri. Pada 16 September 1959, apabila hoca rebah kerana diabetes dan meninggal dunia, kebencian semasa hidup terhadapnya dilanjutkan saat pemergiannya. Pihak berkuasa malah menghalang haknya untuk dikebumikan di perkarangan masjid Fatih, kerana dendam kesumat itu jenazah Suleyman hoca dipindah ke sana ke mari sebelum dikebumikan di Karacaahmet, Istanbul sebelah Asia di bawah kendaliaan ketat polis. Di sini saya berdiri, di hadapan Suleyman Hilmi Tunahan. Saya semacam terpandangkan hoca dengan tubuh besar dan wajah mendungnya, senyum yang melembutkan jiwa dan jambang nan memutih menambah karisma. Saya mendengar pesan hoca lembut mengingatkan – Islam yang paling utama. Kehidupan dunia dan politik jatuh tempat kedua. Kehidupan dunia dan politik boleh diperalatkan untuk Islam tetapi Islam tidak boleh digunakan untuk kehidupan dunia dan politik. Terkutuklah untuk mereka yang memperalatkan Islam untuk mendapat habuan. Saya tidak sedar air mata mengalir di hadapan makam. Saya getap bibir. Rasa terharu itu menjalar kerana mengenangkan Suleyman hoca sanggup menggadai satu-satunya rumah yang beliau ada untuk mendanakan penulis-penulis berjiwa Islam di zamannya. Suleyman hoca juga yang banyak membantu penyair Necip Fazil yang kemudiannya tersohor itu. Wang gadaian rumahnya yang menyelamatkan majalah agama Büyük Dogu dari terkubur. Alangkah baiknya jika rezeki saya melimpah untuk membantu menyemarakkan lebih banyak penulisan Islam seperti yang beliau lakukan. Hari ini ketika terlalu banyak anak muda Islam ibarat kayu digerigit anai-anai kebendaan dan hiburan kata-kata hoca adalah semangat buat kami: Ketika anak-anak muslim hanyut ibarat balak di sungai menuju ke neraka, menyelamatkan satu balak sudah menjadi bonus. Saya mahu mengingat setiap cebis-cebis yang ada. Maka saya bergerak sendirian ke Kadikoy, naik feri hingga ke Eminonu merentas selat Bosphorus yang biru, lantas berjalan lambat-lambat ke kawasan Sultan Ahmet. Pelancong luar sudah kembali menyesakkan kota paling romantis di dunia ini. Jalanraya serasa amat padat. Masjid Biru memanggil, memanggil saya. Saya usai menunaikan sunat dhuha ketika kucing gemuk itu datang menggesel di paha. Ia mengiau perlahan, manja dan melompat dalam lipatan sila kaki saya. Ia meminta saya membelai bulunya, kucing itu menggeliat dan misainya saya lihat lentik bergerak-gerak. “Rumi…” Kata saya perlahan seraya mengusap bawah lehernya, Rumi memutar-mutar kepala kegelian. “Hoca, aku bangga denganmu kerana hari ini kau datang sebagai seorang yang penuh isi. Kau telah menemui misimu. Misi yang baik Insya-Allah.” “Elhamdulillah, Elhamdulillah aku adalah manusia yang mengenal nikmat iman dan Islam. Itu sahaja yang aku mahukan…” Rumi menggelitar lagi, “Elhamdulillah aku adalah seekor kucing, Tuhan menjadikan aku dengan misi.” Saya senyum, mengangkat tubuhnya yang berat, memeluknya dan berbisik. “Terima kasih kerana menunjukkan aku kepada Suleyman Efendi.” Rumi mengesip-ngesip mata. Saya bangun, membetulkan seluar labuh, bergerak perlahan, mengenakan but dan sempat menoleh kepada kucing gemuk di Masjid Biru. Ia memandang saya dengan senyum, dengan senyum yang paling indah. Saya masih ingat senyum itu. Ia mengiau sekali, perlahan dan penuh dorongan, menggodekkan ekornya dan menjilat tepi bibir. Saya memberi salam. Ia membalas. Itu kali terakhir saya melihatnya. Dua hari sebelum saya berangkat pulang saya cuba mencarinya di Masjid Biru. Tidak ada. Saya bertanya kepada pengawal. Lelaki itu menggeleng kehairanan, sahutnya, “Tidak pernah ada kucing gemuk di sini.”