Aniz Azyllea, seindah nama, secantik orangnya. Seorang gadis yang terpaksa melalui kehidupan yang bukan miliknya. Nyata, dia tidak punya pilihan. Bukan kehendaknya tika ibu bapanya bercerai. Bukan kehendaknya tika ibunya pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Bukan kehendaknya juga tika abahnya berkahwin dengan wanita yang tidak pernah dikenalinya. Apa yang mampu diputuskan dirinya sendiri dalam hidup yang penuh onak duri ini hanyalah menjadi seorang yang tabah.
Dugaan datang kembali menghimpit dirinya. Kali ini, langit seperti menghempap dirinya. Ketegasan kata abah bagai menghukum dirinya. Sungguh, selama 16 tahun, dia belum puas merasa kasih sayang seorang insan bergelar abah. Keadaannya saat ini tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Namun, dia sedar bahawa, hitam kata abah, hitamlah katanya. Sekali lagi, keputusan bukan di dalam genggamannya dan dia tahu, saat menjejakkan kaki ke asrama SMK Raja Ali pasti tiba.
Tika dia melangkah keluar dari rumah yang tidak pernah mengajarnya erti kebahagiaan, dia diiring dengan esak tangis ibu tirinya. Aniz tersenyum sendirian. Bukannya dia tidak bersimpati dengan mama tetapi dia tahu, mama punya agendanya yang tersendiri. Tanpa berlengah, Aniz terus sahaja melangkah ke dalam kereta, berharap agar hatinya tidak terpedaya dengan air mata mama. Esak tangis mama penuh dengan kepura-puraan. Sesungguhnya, Aniz tidak sanggup lagi tertipu dengan lakonan mama.
Setiap dugaan, pasti ada hikmahnya. Kedatangan Aniz ke asrama sedikit sebanyak mengajarnya erti persahabatan. Suatu perhubungan yang tidak boleh dijual beli. Mujur, dia bertemu dengan Zaharah, insan yang memahami dirinya. Menerima dirinya seadanya. Pada Zaharahlah Aniz mengadu domba perihal kepincangan keluarganya, juga tentang mama yang tidak pernah menyayanginya. Zaharah tidak pernah sesekali mengajar Aniz membenci diri mama malah mengajar Aniz tentang kehebatan kasih seorang ibu. Aniz hanya perlu bersabar dan memberikan mama masa untuk menyesuaikan diri.
‘Outing’, hari yang ditunggu-tunggu semua warga asrama SMK Raja Ali tetapi tidak pula bagi Aniz. Memang benar, dia rindu pada abah tetapi abah seringkali out-station mengikut kehendak syarikat. Apa yang membuatkan Aniz berkecil hati ialah abah tidak pernah menjenguknya walaupun sekali. Tambahan pula, abah seringkali membawa mama dan Rozana, adik tirinya bersama setiap kali out-station. Aniz hanya mampu menangis di dalam hati. Dia sedar, bukan abahnya yang perlu dipersalahkan. Bukan abahnya juga yang perlu memikul beban atas kesengsaraan yang dialaminya. Tetapi, jika lautan api yang menjadi taruhan bagi Aniz untuk meluahkan isi hatinya pada abah, lautan api jualah yang sanggup direnanginya.
Kehadiran Encik Fahmi, ayah kepada Zaharah ternyata mengubah persepsinya terhadap kasih sayang seorang bapa. Aniz lebih senang memanggil Encik Fahmi sebagai Ayah Su. Kelembutan mak, Puan Etyllea pula menyedarkannya tentang kehebatan kasih seorang ibu. Walaupun Aniz bukan darah daging bagi keluarga Zaharah, namun Aniz dilayan tidak ubah seperti salah seorang daripada ahli keluarga tersebut. Di sinilah jua titik tolak pertemuannya dengan Abe Ma, abang kepada Zaharah. Keprihatinan Abe Ma terhadap dirinya betul-betul membuatkan dirinya rasa dihargai. Aniz bersyukur pada Tuhan kerana menganugerahkan keluarga padanya walaupun Aniz sedar, dia hidup menumpang kasih pada keluarga Zaharah.
Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah. Begitulah gambaran kehidupan Aniz di asrama bersama penghuni asrama yang lain. Walaupun Aniz baru menghuni asrama selama 6 bulan dan masih berasa kekok dengan kehidupan di asrama, ini tidak menghalang Aniz berkomunikasi dengan penghuni asrama yang lain. Keputusan akademiknya juga memberangsangkan. Aniz selalu berbincang dengan Zaharah tentang matapelajaran yang tidak difahaminya. Mereka juga selalu membuat ulangkaji bersama kerana sedar akan peperiksaan yang bakal menentukan di mana letaknya segala kesungguhan mereka selama ini.
Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal diduduki mereka penghujung bulan Oktober benar-benar membuatkan mereka gentar. Sifat malas seringkali mengalpakan mereka tentang kepentingan peperiksaan tersebut namun atas nasihat guru-guru, mereka berazam untuk mencipta keputusan yang cemerlang untuk dibuktikan pada keluarga mereka. Pada mulanya, Aniz menghadapi masalah membiasakan dirinya dengan keadaan baru. Aniz juga tidak biasa duduk di asrama kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan di rumah yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan. Namun, permasalahan itu tidak pernah mengugat kesabarannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mendapat sedikit perhatian daripada insan yang bergelar abah. Aniz mahu abahya bangga dengan dirinya sepertimana abahnya bangga dengan Rozana. Lagipun, itulah satu-satunya cara untuk mendapat perhatian daripada mama.
Penantian Aniz dan Zaharah akhirnya ternoktah apabila peperiksaan SPM tiba. Mereka berjuang berhabis-habisan untuk menjawab kertas peperiksaan seperti berjuang di medan perang. Segala petua yang diajarkan guru diaplikasikan sepenuhnya semasa menjawab kertas peperiksaan. Lupakan derita kerana Aniz hanya mahu fokus menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan sepenuh hatinya. Lupakan perhatian abah kerana saat ini hanya akal berperang dengan hati Aniz sendiri. Lupakan Ayah Su, Zaharah, Abe Ma, Rozana, mak dan mama buat seketika kerana Aniz tidak mahu keputusan yang ditentukan dirinya sendiri kali ini meragut harapan mereka. Akhirnya, Aniz berupaya membuat keputusannya sendiri dan hanya menunggu masa mengambil keputusan SPM yang akan menentukan segalanya.
Takdir Tuhan tiada siapa yang kuasa melawannya. Tika manusia bergembira dengan keputusan peperiksaan SPM yang telah mereka cipta, Zaharah pula hanya mampu menangis. Bukan mengenangkan keputusannya, tetapi mengenangkan insan yang telah meninggalkan derita di dunia buat selama-lamanya. Cuma, Zaharah kesal. Kesal dengan sikap Aniz yang berahsia dengannya. Kesal kerana tidak mampu melindungi Aniz. Kesal kerana Aniz berpura-pura sihat untuk tidak membimbangkan dirinya. Kesal kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal pada Aniz. Sungguh, Zaharah kesal. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya tika ini.
Buat pertama kalinya, abah menangis. Terasa dirinya benar-benar bodoh. Bodoh kerana tidak menghargai kehadiran Aniz. Bodoh kerana tidak cuba menyelami hati anaknya sendiri. Bodoh kerana tidak meluangkan masa bersama satu-satunya penghubung kasihnya dengan Zawani, arwah isterinya. Bodoh kerana membiarkan Aniz memendamkan rahsia kesihatannya. Sungguh, Anwar terasa dirinya bodoh.
Di sudut lain pula, mama hanya mampu terkejut dengan berita kematian Aniz. Mama tidak merasa sedih. Tidak pula merasa kesal apatah lagi merasa dirinya bodoh. Akhirnya, mama berasa selamat kerana selama ini mama berasa terancam dengan kehadiran Aniz. Anwar pula tidak habis-habis memuji Aniz. Aniz itu. Aniz ini. Mama benar-benar bosan. Mama tersenyum sendirian sambil memeluk Rozana. Kemudian, mama menundukkan mukanya. Buat sekian kalinya, mama berpura-pura sedih. Tanah perkuburan menyaksikan esak tangis mama yang berbaur kepura-puraan.
Zaharah menghampiri abah, mengambil kesempatan untuk menyerahkan amanat yang terpikul di bahunya yang berupa keputusan peperiksaan SPM Aniz yang dikirim Tuan Pengetua, Encik Nagindar, dan surat daripada salah seorang jururawat di Hospital Pusrawi. Surat tersebut ditulis daripada Aniz. Patutlah Aniz menghilang sebaik sahaja sekolah berhenti. Rupa-rupanya, Aniz bersabung dengan nyawa untuk melawan sakitnya. Pada abah, Aniz ceritakan yang dia tinggal bersama Zaharah walhal Zaharah langsung tidak tahu-menahu tentang hal tersebut. “Pak cik Anwar,” kata Zaharah sambil menghulurkan sampul surat biru. Abah terkejut dan hanya mampu menyambut huluran sampul biru tersebut. Tanpa berlengah, abah terus membuka slip keputusan peperiksaan SPM milik Aniz. Mata abah terpaku melihat deretan A pada slip keputusan tersebut. Abah tersenyum sendirian. Namun, dalam masa yang sama, abah bersedih. Sedih kerana saat ini abah tidak mampu memeluk anaknya sendiri untuk menyatakan betapa bangga dan bertuahnya abah dikurnikan zuriat seperti Aniz.
Abah mengesat air matanya. Abah tahu, walaupun dia cuba sedaya upaya untuk menahan air matanya, dia tetap akan gagal. Kali ini, abah membuka sampul surat biru. Perlahan-lahan, mata abah menyoroti tiap perkataan dalam surat tersebut.
Abah, Jangan ditangisi pemergian Aniz. Pada Aniz, tiada beza bagi abah jika Aniz hidup bersama abah atau tidak. Aniz bukan berlaku kejam. Aniz hanya menyatakan kebenaran. Maaf andai Aniz tersalah hitung kasih sayang yang abah curahkan. Sungguh, Aniz terharu dengan kehadiran Zaharah dalam hidup Aniz. Dia banyak mengajar Aniz erti sebuah keluarga. Aniz banyak berhutang dengannya. Namun, Aniz harus berterima kasih dengan abah kerana tanpa abah tidak mungkin terjalin persahabatan antara Aniz dan Zaharah.
Abah, Niat di hati memang Aniz nak tulis sendiri surat ini. Tapi Aniz tak berdaya. Aniz minta tolong Kak Zarina tuliskan untuk Aniz.Minta maaf abah. Aniz betul-betul tak berdaya. Tentang punca penyakit Aniz, tak payahlah Aniz beritahu. Jika abah betul-betul inginkan kepastian,tanyalah Kak Zarina sendiri. Aniz nak minta maaf sebab tipu abah. Sepanjang cuti berhenti sekolah selama 2 bulan, Aniz tak pernah jejakkan kaki ke rumah Zaharah. Hidup Aniz hanya di Hospital Pusrawi.
Abah, Ingat tak berapa kali kita pernah berjumpa? Seingat Aniz, selama Aniz berada di asrama, kita tak pernah berjumpa. Aniz rindu nak peluk abah. Aniz rindu nak cium tangan abah. Aniz rindu nak manja dengan abah. Aniz rindu nak berkongsi cerita dengan abah. Rindu sangat. Tapi, Aniz tak berpeluang. Aniz tak mampu nak jadi anak yang baik macam Rozana. Aniz tak mampu. Maaf sebab Aniz masih tak menerima mama sebagai pengganti kasih ibu. Bukan mama tak layak, Aniz yang tak layak. Aniz sedar siapa Aniz. Aniz tahu siapa Aniz di mata mama. Aniz tahu, abah. Aniz faham.
Abah, Sebenarnya, hanya ibu sahaja yang tahu tentang penyakit Aniz. Ibu berkeras untuk bagitahu abah tapi, tak kesampaian. Ibu pula terlibat dengan kemalangan. Pihak hospital juga berkeras untuk beritahu abah, tetapi kesibukan tugas abah membantutkan pihak hospital. Hanya pada Abe Ma sahaja Aniz beritahu tentang penyakit Aniz. Akhirnya, Abe Ma yang menolong Aniz menyelesaikan masalah dengan pihak hospital. Dengan bantuan Abe Ma, Aniz dapat meneruskan rawatan di Hospital Pusrawi. Tapi abah, semuanya dah terlambat.
Abah, Cukuplah luahan hati Aniz setakat ini. Aniz minta abah halalkan semua makan minum Aniz. Sayang, Aniz tak dapat peluk abah saat ini. Abah, Aniz sentiasa sayang abah. Kini dan selamanya. Maafkan Aniz, abah. Maafkan Aniz.
Abah melipat perlahan-lahan surat yang baru habis dibacanya. Tak terduga yang Aniz sungguh tabah menghadapi liku-liku hidup. “Maafkan abah, Aniz,” kata abah sambil memandang pusara Aniz. Lalu, abah bangun meninggalkan perkuburan Aniz dengan air mata yang berlinangan, sama seperti awan memuntahkan isinya. Abah redha.