"Abang betul ke tak nak balik beraya di kampung abang tahun ni?" tanya isteriku sebaik sahaja selesai berbuka setelah mengerjakan sembahyang Maghrib. Sedang ibunya sibuk mengemaskan pinggan mangkuk, dua orang anak kembarku yang juga sibuk berkelahi menunjukkan kepandaian masing-masing untuk menolong ibunya mengemas di dapur. Perangai mereka tidak ubah bagaikan anjing dan kucing. Pantang bertemu muka, ada sahaja yang mahu dicakarkan.
"Abang dengar tak soalan saya tadi?" ulang isteriku apabila melihat aku acuh tak acuh menjawab pertanyaannya. Sebenarnya memang aku sengaja tidak mahu menjawab kerana malas. Apa tidaknya, menjelang lebaran soalan yang sama diajukan. Bukannya dia tidak tahu jawapan yang bakal kuberikan, tetapi Mariati memang tidak bosan untuk bertanya. Malah, selagi tidak mendapat jawapan, selagi itulah mulutnya asyik bertanya dan mendesak supaya kami sekeluarga balik menjenguk ibu dan abahku di kampung.
Tetapi jawapanku tetap sama seperti lima tahun yang lepas. "Tengoklah, raya kan lambat lagi."
"Apa yang lambatnya bang. Lagi dua minggu tau. Lagipun dah hampir lima tahun kita tak pulang kampung abang. Ati teringin jugak nak dengar khabar mak dan abah abang di kampung," terang isteriku sambil tangannya sibuk menukar baju kembar kami. Memang begitulah adatnya setiap kali makan, kecomotan pada baju dan muka tidak dapat diselamatkan lagi. Walaupun keduanya baru menjangkau lima tahun, tetapi sudah kuajar hidup berdikari. Harapanku biar menjadi orang berguna satu hari nanti.
Sebenarnya aku bukannya tak sudi untuk pulang menjenguk mak dan abah di kampung tetapi peristiwa tujuh tahun lalu masih terasa bahangnya.
Dihalau
Biarpun mereka masih lagi menjadi darah dagingku tapi pedihnya tetap aku rasakan. Bagaimana tersiksanya jiwa aku tatkala abah menghalau aku dari kampung gara-gara mendengar hasutan orang. Seluruh kampung menuduh aku membuntingi Saerah anak Lebai Pungot. Mentang-mentanglah aku agak rapat dengannya, tetapi tidak bermakna yang aku ada hubungan dengan Saerah. Puas aku jelaskan bukan aku yang bertanggungjawab pada Saerah, tetapi penduduk kampung sikitpun tidak mahu menerima alasanku.
Malah, mereka seperti sengaja berpakat untuk mengenakan aku memandangkan selama ini aku memang sering pulang dari sekolah bersama Saerah. Bagiku, tidak salah jalan beriringan dengan Saerah kerana aku hanya menganggapnya sebagai adik sendiri. Saerah juga tidak pernah menganggap aku lebih daripada itu. Sebenarnya aku sedikitpun tidak ada perasaan pada Saerah. Tambahan lagi aku dengar Saerah sedang hangat bercinta dengan Ismail, pemuda dari kampung sebelah. Bagaimanapun aku dapat tahu yang percintaan mereka tidak direstui keluarga Saerah dengan alasan pemuda itu hanyalah orang biasa dan tidak mempunyai pekerjaan, sedangkan Saerah masih belajar.
Pernah Saerah mengadu padaku mengenai perilaku mak dan ayahnya yang kerap menyoal dirinya jika pulang lewat. Dia juga memberitahu perhubungannya dengan Mail tidak direstui keluarganya.
"Abang Man, Saerah rasa macam nak berhenti sekolah la," rungutnya satu hari ketika kami sama-sama jalan beriringan untuk pulang ke rumah selepas habis sekolah.
"Eh! Kenapa pulak? Ada masalah ke? Kena marah dengan guru disiplin?" tanyaku bertalu-talu memandangkan selama ini Saerah begitu rajin ke sekolah. Sebagai seorang abang, Saerah juga sering menjadikan diriku bahan rujukan dalam pelajarannya. Lagipun aku kini di tingkatan enam manakala dia di tingkatan lima. Oleh kerana aku punya pengalaman mengambil peperiksaan SPM, jadi secara tidak langsung aku diibarat guru kepada Saerah.
"Abang kan tau, Saerah ada kawan dengan Mail. Bukannya dia dah tak nak sekolah, cuma keluarganya yang tak mampu nak biayai dia lagi. Tapi Mail sekarang pun tengah ambil kursus bengkel membaiki kereta dan motor. Memang dah cita-cita nak bukak bengkel pun."
Aku masih keliru dengan penjelasan Saerah. Bagaimanapun aku tidak pula menyampuk sebaliknya hanya mengambil sikap tunggu dan lihat. Mungkin gadis manis ini benar-benar mempunyai masalah.
"Abang kan tau yang mak dan abah tak suka Saerah kawan dengan dia. Mereka kata Mail tu kutu rayau. Tak ada kerja, hanya harapkan belas ihsan keluarganya sahaja," tiba-tiba air mata bergenang di pipi gebu Saerah. Aku jadi kaget. Tangisannya bertambah kuat apabila memberitahu yang Mail akan berhijrah ke Kuala Lumpur selama dua tahun untuk meneruskan kursus bengkelnya.
Jadi mereka bersepakat untuk melangsungkan pertunangan dalam masa yang terdekat. Tetapi keluarga Saerah menolak mentah-mentah permintaan Saerah. Mereka mahu Saerah lupakan terus Mail yang kononnya tidak mampu menyara hidup anak mereka. Penjelasan dari Saerah membuatkan aku terfikir sejenak. Rupa-rupanya dalam dunia ini masih ada manusia yang mengejar darjat dan pangkat dalam membina sebuah kehidupan.
Nasihat
Sebagai abang, aku hanya mampu memberi nasihat apa yang patut. Dalam erti kata lain aku tidak mahu masuk campur dalam hal yang membabitkan soal perasaan. Bimbang dikata diri ini yang terlebih sudu dari kuah. Saerah seperti tidak berpuas hati dengan reaksiku.
"Abang tak pernah jatuh cinta, sebab tu tak dapat beri keputusan," ungkitnya apabila aku menyarankan agar dia melupakan Mail untuk seketika dan tumpukan pada pelajaran. Malah, Saerah juga turut menuduh aku cemburu dengan perhubungan mereka. Sumpah! Sikitpun aku aku tak cemburu dengan hubungan mereka yang terjalin kira-kira dua tahun.
Sejak itu, Saerah bagaikan mengelak apabila bertemu denganku. Jika aku menegurnya, sikitpun aku tak dilayannya. Malah kalau aku mahu bertemu, doa menolak dengan alasan sibuk. Tetapi apa yang aku lihat dia semakin intim dengan Mail. Pernah sekali aku terserempak dengan mereka di Pekan. Lagaknya bagaikan suami isteri dan berpelukan tanpa menghiraukan orang di sekeliling. Aku cuba juga menegur perbuatannya itu tapi dibalas dengan cemuhan.
"Saerah taulah apa yang Saerah buat. Yang abang sibuk tu apasal? Jagalah tepi kain sendiri sebelum jaga tepi kain orang," tengkingnya bagaikan aku ni pengemis. Ketika itu mahu saja aku menampar mulut lancang Saerah, tetapi memikirkan apa hakku, aku batalkan saja niat itu.
"Abang bukannya apa, cuma nak ingatkan Saerah yang SPM dah makin dekat. Jangan terlalu rapat sangat dengan Mail, nanti kau lalai," nasihatku padanya. Sayang kalau Saerah cuai dalam pelajarannya memandangkan dia seorang yang rajin dan pandai.
"Ah! Sudahlah. Abang cemburukan tengok hubungan rapat kami. Saerah dah agak y ang abang memang ada hati pada Saerah. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Cerminlah muka tu sikit."
Sakitnya hati aku mendengar cemuhan yang keluar dari mulut comel Saerah. Ternyata dia begitu membenci aku, tidak seperti dulu. Sejak hari itulah aku malas nak ambil tahu lagi hal Saerah. Bagiku antara aku dengan dia sudah tidak punya apa-apa hubungan kecuali hubungan sedara. Lagipun peperiksaan STPM akan bermula tidak lama lagi. Tetapi, berita yang aku terima dari teman sekelasku pagi tadi mengubah hidupku.
"Hoi, Man! Orang kampung sibuk cari kau pagi tadi," terkocoh-kocoh Isnin datang memberitahuku ketika waktu rehat.
"Apa halnya? Nak suruh aku kejar kerbau ke," gurauku pada Isnin memandangkan kalau orang kampung mencari aku sebab nak suruh aku kejar kerbau. Itulah sahaja kebolehan yang boleh aku banggakan.
"Eh! Aku serius ni Man. Mereka nak kerjakan kau sebab kau dah buntingkan Saerah." Jawapan yang Isnin buat aku ketawa. Terasa lucu apabila benda yang tak pernah terfikir di fikiran dituduh melakukan.
"Kau jangan gelak-gelak Man. Betul ni. Habislah kau kali ni Man. Baik kau lari jelah."
"Kau gila. Kenapa nak suruh aku lari sedangkan aku tak buat salah apa-apa?" Malas aku nak layan Isnin yang bagaikan orang angau. Terus sahaja aku ke kelas kerana loceng menandakan waktu rehat berakhir telah berbunyi.
Sebaik sahaja kaki mencecah kaki ke lantai rumah, aku lihat abah bagaikan pahlawan sambil bercekak pinggang dan merenung tajam ke arahku. Pelik aku lihat perangai abah yang tiba-tiba bagaikan harimau mahu menerkam mangsanya.
"Hai abah, macam pahlawan di zaman Kesultanan Melaka je. Siap cekak pinggang lagi tu. Macam Hang Tuah yang sedang marahkan Hang Jebat," gurauku pada abah.
Tanpa diduga, tiba-tiba sebuah tamparan singgah di pipiku. Tersungkur aku di muka pintu akibat tamparan abah yang begitu kuat sekali. Tiba-tiba aku terasa darah merah keluar dari hidungku. Tulang pipiku terasa seperti tersembul keluar. Malah, aku juga bagaikan sudah kehilangan untuk bangun. Ketika itu aku lihat wajah ayah begitu garang sekali todak seperti kebiasaannya. Tiada lagi senyuman yang sering kulihat tatkala menyambut aku pulang dari sekolah.
"Apa yang kau dah buat Norman. Kau saja nak malukan aku ye. Anak tak guna, harapkan pagar pagar makan padi," jerkah abah padaku yang masih terkulat-kulat menahan sakit.
"Malu apa pulak ni ayah? Man tak faham la," dalam pada sakit itu aku sempat bertanya pada ayah apa kesalahan yang aku lakukan hingga dia tergamak menamparku. Yang aku tahu abah jarang memukul anak-anaknya, kalau ada pun sekadar menegur dengan nasihat. Perangai ayah yang sabar dalam menghadapi masalah menyebabkan aku tertanya-tanya apakah kesalahan yang aku lakukan sehingga dia berubah sikap menjadi manusia garang.
"Masih tak sedar-sedar lagi ke? Kau dah conteng arang di mukaku. Anak tak guna. Penat aku sekolahkan kau siang malam. Tup-tup kau dah buntingkan anak orang. Apa, kau dah kemaruk sangat nak kawin ke, hah?"
Jawapan ayah bagaikan gunung berapi. Lantas aku terus teringat kata-kata Isnin tengahari tadi. Memang dia bukanya main-main. "Saerah bunting? Bila? Kat mana? Siapa yang tergamak melakukannya?" Dalam sedar tak sedar terpacul berbagai soalan di fikiran. Ketika itu aku terbayang wajah Mail yang siang malam dikepit Saerah. Cuma keluarganya yang tidak dapat melihat kejahatan Mail.
"Ayah, Man bukan sekeji itu. Man masih ingat Tuhan," jawabku dengan yakin. aku cuba memohon simpati pada ayah, tetapi wajah lelaki tua itu sedikit pun tidak menunjukkan simpatinya. Malah, diri ini dipandang bagaikan aku ini sampah jijik.
"Semua orang kampung dah heboh. Katanya kaulah yang bertanggung jawab membuntingkan Saerah empat bulan. Mana aku nak sorok muka ni hah! Malu aku, malu," jerkah ayah membuatkan aku terkedu. Bagaimana aku nak beritahu bukan anak dia yang melakukan perbuatan terkutuk itu.
Rindu
"Abang, termenung jauh nampak." Kejutan suara isteriku membuatkan aku tersedar daripada lamunan. Lama juga fikiranku mengembara di alam lain. Walaupun peristiwa pahit itu telah tujuh tahun berlalu, namun aku rasakan bagai sehari terjadi. Pedihnya hingga kini. Lebih-lebih lagi apabila menjelang lebaran. Rindu pada keluarga memang tak dapat aku tahan, namun kerana ego aku tabahkan juga. Bukan tidak ada surat atau panggilan dari adik beradik lain yang kerap mengajak aku pulang ke kampung untuk berhari raya bersama-sama. Malah emak dan abah ada datang ke rumahku untuk memohon ampun dan maaf mereka atas keterlanjuran mereka menuduh aku tanpa usul periksa. Tetapi setiap kali mereka datang, aku sengaja menyorokkan diri dan hanya isteriku yang setia melayan. Ketika aku berkahwin dulupun, tidak ada seorang saudara mara yang dijemput, cuma dua orang sahabat karibku dan abang sulungku yang menemani. Mujur juga keluarga Mariati dapat menerima diriku seadanya.
Selepas peristiwa aku dihalau dulu, terus aku tidak menjengokkan muka. Cuma sesekali bertanya khabar emak melalui telefon. Tetapi kemudiannya apabila mengetahui aku kerap menelefon, dia terus memotong talian dan menggantikannya dengan nombor baru. Seolah-olah abah menganggap diri ini sudah mati. Ketika itu aku sedang bergelumang untuk mengambil peperiksaan STP. Walaupun malu untuk berhadapan dengan guru sekolah, tetapi STP tetap aku ambil. Perlian rakan-rakan tidak aku hiraukan, malah aku tekad untuk menolak segala cemuhan dengan hati yang terbuka. Aku ada juga cuba berjumpa dengan Saerah, tetapi malangnya dia tiada. Aku mahu tahu mengapa dia sanggup menfitnah aku sedemikian rupa. Dengarnya dia juga sudah berhenti sekolah akibat peristiwa yang memalukan itu.
Walaupun berbagai peristiwa datang menimpa, akhirnya aku berjaya juga memperolehi keputusan cemerlang. Dengan keputusan itu jugalah melayakkan diri untuk menjejakkan diri ke Institut Pengajian Tinggi Tempatan dalam jurusan Perakaunan. Di sana jugalah aku bertemu dengan Mariati, isteriku yang begitu memahami diri ini.
"Abang memang rindu pada emak dan ayah, tapi..." aku tak dapat nak menghabiskan ayat itu. Seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkong.
"Ati faham bang, tapi peristiwa tu dah lama berlalu. Lupakan jelah bang. Bulan baik hari baik ni, kan elok kita bermaaf-maafan." Suara lembut isteriku cuba memujuk. Tetapi kata-katanya itu tak pernah aku nak ambil tahu. Luka itu bagaikan bernanah kembali setiap kali menjelang raya. Bayangkan aku terpaksa menanggung segala keperitan selama tiga tahun sebelum mengecap bahagia sekarang. Bukan tujuan aju untuk menghukum keluarga sendiri tetapi hati ini begitu keras sekali untuk menerima kemaafan dari mereka.
Ternyata fitnah yang menimpa aku hanyalah omongan kosong yang tiada maknanya. Kebenaran telah terbukti bahawa bukan aku yang membuntingi Saerah. Sebenarnya Mail, kekasih Saerah yang bertanggungjwab dan akhirnya mereka dipaksa berkahwin setelah kandungan Saerah masuk bulan ke sembilan.
Keluarga Saerah telah meminta maaf pada keluargaku bagi menjernihkan kembali keadaan. Tetapi sekali luka itu sudah terpalit, bukan senang untuk menyembuhkannya.
Kini, menjelang lebaran kenangan itu datang lagi. Geramku masih berbekas pada abah. Sungguh aku tak sangka yang dia menerima bulat-bulat fitnah yang melanda diriku tanpa mahu membela. Aku dihalau bagaikan diri ini pengemis yang meminta sedekah di tepi jalan.
Gamitan Syawal
Seminggu sebelum raya, aku lihat isteriku sibuk membuat apa yang patut. Walaupun baju untuk kembarku telah dibeli, begitu juga dengan kuih yang hanya dibeli, tapi kesibukannya mengalahkan mereka yang berpuasa.
Gamitan Syawal makin terasa tatkala mendengar lagu-lagu raya berkumandang tanpa henti. Aku bagaikan melihat lambaian kampung halaman yang hampir tujuh tahun ditinggalkan. Wajah tua emak dan abah seperti memohon simpati mengajak aku pulang. Tambahan lagi, aku juga menerima hantaran kad raya dari abah yang memohon ampun dan maaf kepadaku dan mengajak aku pulang untuk berhari raya bersama-sama. Perkataan maaf diulang berkali-kali memohon agar kesalahan lalu dilupakan. Ketika itu, berlinang air mata tatkala membaca bait terakhir dari seorang abah yang terlalu rindukan anaknya.
Norman,
Walaupun kau tidak pernah nak maafkan abah, tapi abah tetap menunggu kepulanganmu menjelang lebaran nanti. Abah rindukan saat-saat bersamamu.
Ayahmu Bagan Serai, Perak
"Ati, abang rasa tak sedap hatilah."
"Kenapa bang?"
"Entahlah rasa macam ada sesuatu je."
"Ish mengarutlah bang, tidurlah nanti tak bangun bersahur pulak. Lagipun esok nak berjalan jauh, balik rumah Ati kan?"
Sedang aku bersiap-siap untuk pulang ke kampung Mariati untuk pulang berhari raya, tiba-tiba aku rasa tak sedap hati.
"Ati, kita balik rumah abang raya ni?" Wajah Ati berkerut kerana kehairanan dengan keputusanku yang tiba-tiba mengubah fikiran untuk pulang ke kampungku.
"Mimpi apa pulak ni bang?" Senyum Ati begitu lebar menghiasi bibirnya. Ternyata hajatnya untuk pulang beraya dengan keluargaku tertunai sudah. Mungkin dia menyangka aku telahpun dapat melupakan kesilapan lalu. Tetapi sebenarnya aku rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang bakal terjadi. Atau mungkin perasaanku sahaja mengandaikan yang bukan-bukan.
Sepanjang tiga jam perjalanan, fikiranku menerewang jauh. Wajah emak dan abah bagaikan tersenyum sambil menggamit aku pulang. Seperti terdengar-dengar di cuping telingaku suara abah memohon keampunan dan berhasrat untuk bertemu denganku. Perjalanan yang jauh menyebabkan kedua kembarku lena tidur setelah penat bergaduh kerana berebutkan seekor beruang mainan. Mulutnya sibuk bertanya ke mana destinasi yang hendak dituju memandangkan perjalanan ini tidak sampai ke destinasinya lagi.
"Sabarlah anakku, tak lama kau akan bertemu dengan Tok dan Tok Wan yang sudah lama tidak kita kunjungi," desis hati kecilku ini. Isteriku di sebelah banyak bercerita untuk menghilangkan rasa bosan dan mengantuk. Namun segala percakapannya bagaikan tidak masuk di fikiranku. Yang ada dalam fikiranku kini hanyalah keinginan untuk bertemu dengan emak dan abah.
Hatiku makin berdebar-debar tatkala keretaku mula memasuki simpang menuju ke rumah. Tak banyak perubahan yang berlaku di kampung setelah tujuh tahun ku tinggalkan. Semuanya seperti dulu, cuma sudah banyak tanah yang telah ditar dan pondok telefon di kiri kanan jalan. Kalau dulu, aku terpaksa bermandi lumpur sekiranya hujan turun untuk pulang dari sekolah. Kini, generasi sekarang tidak lagi begitu. Sesekali aku terasa bangga melihat kemajuan yang telah dikecapi oleh kampung halamanku sendiri. Sememangnya kerajaan begitu prihatin dalam usahanya untuk membangunkan pembangunan di desa.
"Abang, esok nak raya, tapi nampak lengang je kampung ni? Jangan-jangan dia orang lupa nak beli daging tak?" Sangka isteriku tatkala kereta menyusuri jalan menghala ke rumahku.
"Alah biasalah. Orang kampung memang suka buat persiapan awal," jawapanku yang agak selamba seperti tidak dapat menjawab kemusykilan di hati Mariati.
"Mama, kenapa ramai orang pakai kopiah di sana tu?" Tiba-tiba aku rasakan jantungku berdegup kencang apabila mendengar pertanyaan dari kembar sulungku. Apatah lagi apabila melihat berduyun-duyun orang keluar masuk menuju ke arah rumahku. Ketika aku terasa pergerakankereta begitu lambat sekali perjalanannya. Hatiku sudah tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku. Apabila keretaku masuk sahaja di perkarangan rumah, abang sulungku segera mendekatiku.
"Alhamdulillah kau balik juga Man. Memang rezeki kau nak lihat wajahnya sebelum dikebumikan."
Kata-kata yang keluar dari mulut abang Jais bagaikan semburan api yang dahsyat. Aku seperti tidak percaya apa yang aku dengar. Ketika itu aku rasakan tubuhku seperti melayang, tetapi ada sepasang tangan besar menyambutnya.
"Abah memang dah lama maafkan kau. Dia juga sering berdoa agar kau dapat maafkan kesalahannya kerana menghalau kau keluar dulu," kata abang Jais di pagi raya selepas selamat jenazah abah dikebumikan. Di luar, takbir hari raya menjengah telinga sayup-sayup kedengaran. Air mata yang telah kutahan selama ini tidak mampu untuk aku terus menahannya. Sebagai lelaki, aku menangis buat kali kedua meratapi pemergian arwah abah setelah tangisan yang pertama ketika mengahwini Mariati. Ternyata kepulanganku sempena lebaran kali ini mengundang pilu di jiwa ini.
Sometimes We think about them who we love but since its not belongs to us we just think and think and think only just watch and learn from the pass...... ^^
uikS..sedey sangat ke citer nie...erm... maaf lah..aweks memang sengaja nak teng0k k0rang cam nie..eheeh!! biar k0rang menangis..... Tapi amik ikhtibar...