Nama saya Halifah dan saya ingin berkongsi pengalaman yangpernah saya alami bersama keluarga. Ini pengalaman misteri yang mungkin sukar diterima atau dipercayai oleh sebahagian orang, terserah pada pendengar untuk menilainya, tetapi kejadian ini benar2 berlaku yang tiada tokok tambah, kurang atau melebihkannya.
Pada tahun 2008, 13hb Disember, saya, suami dan tiga dari empat anak2 saya, berangkat ke Jakarta. Setelah tiba di sana, kami berbincang tentang lawatan yang diatur oleh pak supir (pemandu), dia mencadangkan untuk ke Bandung dan Tangkuban Prahu. Kami setuju dan berangkat keesokan harinya.
Dipendekkan cerita, dalam perjalanan pulang dari Tangkuban Prahu, kami terus ke Ciater untuk bermandi air panas. Ketika keluar dari Ciater, anak lelaki saya yang pertama mengatakan dia merasakan bahunya seperti memikul beg yang terlalu berat. Hati saya mula merasakan sesuatu yang tidak sedap. Saya dapati dia mulai demam, dan meracau dalam perjalanan pulang setelah makan malam.
Dalam perjalanan ke kota Bandung, anak saya ini duduk di kerusi paling belakang bersama anak perempuan saya yang bongsu, yang berasa resah kerana abangnya yang meracau dan menunjuk2 ke luar tingkap, sambil berbual dalam bahasa yang anak bongsu saya tidak faham. Setelah saya memberi ubat padanya, dia pulih hanya buat seketika, dan panas badannya akan naik lagi, dan panas sekali. Pak supir pun membawa kereta dengan laju sekali, agar cepat pulang ke hotel di Jakarta.
Pada malam itu, suami saya menemaninya di kamar hotel, jadi anak lelaki yang kedua tidur bersama saya dan anak bongsu saya. Malam itu anak saya yang sakit tidur dalam ketenangan, hanya demam yang boleh dikawal. Namun, malam berikutnya, bila anak lelaki kedua saya tidur bersama abangnya, gangguan mulai berlaku. Dia menelefon suami saya untuk menggantikan tempatnya, kerana abangnya mula berbual seorang diri. Suami pun bergegas ke sana, dan memanggil saya untuk turut ke kamar mereka. Saya menyuruhnya mencari bantuan dari pekerja hotel, mungkin ada antara mereka yang pintar dalam hal itu. Sementara menunggu, anak saya mengadu bahawa dia duduk di perutnya. Saya pun bermula membaca Ayat Kursi.
Kelihatan anak saya berkomunikasi dengan makhluk halus itu. Katanya, Ibu, dia boleh membaca semua ayat2 yang ibu bacakan, tapi dia bertanya kenapa ibu tak suka padanya Saya hanya menjawab di dalam hati, Kerana engkau bukan makhluk sejenis aku... Saya mengharapkan dia mendengar jawapan saya kerana saya tahu makhluk2 ini mendengar kata2 hati kita.
Ketika ayat2 suci Al-Quran kedengaran dari masjid yang berdekatan ketika hampir Subuh, anak saya mengatakan bahawa dia pamitan (mohon) pulang, sambil menangis di hujung katil. Setelah azan Subuh berkumandang, suami saya pulang bersama seorang pengawal keselamatan yang beragama Kristian yang tidak boleh membantu kerana "dia" sudah pulang ke tempatnya.
Pada siang harinya, saya hubungi Pak supir, mengharapkan dia mencari orang yang pintar dalam hal ini serta beragama Islam. Dia datang dengan seseorang dan terus memegang lutut anak saya yang sedang berbaring di katil. Lalu dia bertanyakan, Siapa di antara ibu dan bapak yang berketurunan Jawa? Saya menjawab, Saya, kerana ayah saya memang asli Jawa, kelahiran Jawa Timur... Dia memegang lagi lutut anak saya, lalu menceritakan, Gadis itu adalah roh yang gentayangan di Tangkuban Prahu kerana mati bunuh diri, putus cinta dengan pria yang kebetulan darahnya ada mengalir di dalam anak ibu... Bererti pria itu bertalian saudara dengan saya. Dia memberitahu yang gadis itu anak yang soleh, beribadah dan pintar mengaji, tapi kematiannya yang tragik, kerana membunuh diri membuat dia gentayangan kerana mati sesat. Yang membuat bahu anak saya berat ketika pulang dari Ciater, adalah kerana dia mengencang dan mengikut pulang ke hotel di Jakarta.
Saya mengharapkan dia dapat menghentikan segalanya di situ, agar roh gadis itu tidak terus mengikut kami pulang pada petang itu nanti, tapi dia menjawab, Makhluk Allah itu ada batas2annya, dia tidak akan ikut kamu pulang jauh, justeru itu dia mengganggu anak ibu agar anak ibu tidak pulang dan malah mengikut dia ke alamnya. Anak saya dalam perjalanan pulang dengan demam yang amat tinggi suhu badannya. Sesampai di Singapura, suami saya terus membawanya ke hospital pada malam itu juga, jam 10 malam.
Hanya setelah setahun kemudian, anak saya memberitahu yang dia ada melihat seorang gadis di lereng Tangkuban Prahu memakai baju merah dan melambai2 padanya sambil tersenyum pada anak saya, dan anak saya membalas lambaian sambil memberitahu pada adik lelakinya yang tidak dapat melihat keberadaan gadis yang melambai itu. Oh ya gadis itu ada memberitahu namanya, Maya Hertissa.
Itulah peristiwa yang saya dan keluarga alami, melancong buat pertama kali ke Jakarta yang membuat anak saya tidak gemar untuk melancong ke mana2 pun daerah di Indonesia lagi.