Nama saya Ary. Saya ingin berkongsi satu kisah, yang pernah dialami oleh saya sendiri. Kisah ini terjadi kira-kira empat tahun yang lalu. Waktu itu saya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di salah sebuah syarikat keselamatan di Singapura.
Malam itu saya dikehendaki untuk menggantikan tempat teman sekerja saya, yang secara kebetulan pada malam itu dia diserang demam panas dan tidak dapat meneruskan tugasnya. Saya diarahkan untuk ke tempat itu yang bertempat di kawasan Bishan yang berdekatan dengan kompleks kolam renang.
Setibanya saya di tempat itu, kawasan di sekeliling bangunan itu sungguh menyeramkan. Timbul pelbagai persoalan di dalam hati saya pada ketika itu. Kawasan bangunan itu dikelilingi oleh pokok-pokok rimbun yang menambahkan ketakutan di dalam hati.
Tanpa membuang masa saya pun meneruskan langkah menuju ke bilik pengawal dan di.situ saya melihat teman sekerja saya sedang duduk di dalamnya. Saya pun menghampiri dan memberi salam, dia menyambut salam dengan wajahnya yang pucat mungkin disebabkan demam. Dengan tidak bertanya banyak, saya pun menyuruhnya segera pulang memandangkan dia seperti tidak bermaya.
Selepas menyerahkan tugasnya kepada saya, dia pun beredar. Di dalam bangunan itu, tidak ada sesiapa kecuali saya kerana semua pekerja di tempat itu, bekerja dari pukul lapan pagi hingga lima petang (waktu pejabat). Jam di dinding menunjukkan sudah hampir pukul sebelas malam. Namun pada waktu itu, hati saya mula gelisah seperti ada yang tak kena. Hampir segala yang saya lakukan seperti ada yang mengawasi.
Dengan perasaan segan silu saya pun keluar dari bilik pengawal untuk menghisap rokok dengan harapan agar perasaan negatif itu berubah menjadi positif. Semasa saya sedang menghisap rokok, tiba-tiba seluruh anggota badan saya terasa seram sejuk. Bulu roma tengkuk dan tangan mula meremang, dengan segera saya mematikan bara rokok dan masuk kembali ke dalam bilik pengawal.
Setibanya saya di dalam bilik, saya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang berada bersama saya di dalam bilik tersebut. Hati menjadi semakin kacau. Saya pun mula melaungkan Azan dan membaca surah-surah suci. Semakin kuat saya membaca, semakin kuat getaran yang dapat saya rasakan.
Selepas menahan perasaan takut selama tiga jam, saya pun menghubungi salah seorang penyelia yang berada dekat dengan lokasi di mana saya ditugaskan. Saya menceritakan segalanya kepadanya. Dia menyuruh saya untuk bertenang dan memperbanyakkan membaca surah-surah sehingga dia datang. Selesai saja berbual dengannya, tiba-tiba bulu roma saya meremang, kali ini dua kali ganda hebatnya.
Tanpa membuang masa dengan segera saya bergegas keluar dari bilik itu dan berlari menuju ke pagar bangunan tersebut. Ketika itu saya tak kira, apa nak jadi, jadilah! Saya ingin keluar dari kawasan itu dan menantikan kedatangan Pak Aziz iaitu penyelia yang saya maksudkan tadi. Semasa saya sedang melangkahkan kaki keluar dari pintu pagar, saya pun dengan secara tidak sengaja telah menoleh ke belakang. Ya Allah saya ternampak satu lembaga seperti bertubuh manusia tidak berpakaian!!!
Saya tersentak sejenak, lembaga itu pun lenyap di sebalik pokok kelapa yang berdekatan dengan bangunan janakuasa elektrik. Saya menggigil ketakutan, mujurlah ia berada kira-kira seratus meter dari mana saya berdiri. Saya bergegas keluar setelah saya dapat bergerak dan terduduk di simpang jalan kecil di situ.
Saya menghidupkan bacaan surah dari alat mp3 dalam telefon bimbit sambil melihat ke arah di mana saya ternampak lembaga itu. Selang beberapa minit kemudian, Pak Aziz pun tiba dan saya menceritakan segala-galanya. Pak Aziz dan saya pun masuk ke dalam kawasan itu, dia pun terkumat kamit membaca ayat-ayat suci sambil memandang ke sekeliling kawasan itu. Dengan perlahan dia pun berkata kepada saya, "Ini memang tempat permainan mereka..."
Berderau jantung saya mendengarkan ucapannya. Sehingga kini saya sendiri tak tahu apakah lembaga itu. Sungguh tidak dapat dilupakan peristiwa yang sungguh menakutkan itu.