Panggil saya Ulik Mayang. Saya berasal dari negeri pantai timur kini menetap di Kuala Lumpur, Malaysia. Saya pendengar baru stesen radio anda, biasanya saya dengar melalui Youtube atau melalui internet, sebab pada sebelah malam, saya berniaga di Pasar Larut Malam di Uptown Danau Kota atau lebih dikenali sebagai DanOk Malaysia. Cerita saya ni tidaklah seseram sepertimana KC selalu bacakan di udara.
Baik lah cerita saya bermula pada semester terakhir sekolah beberapa tahun dulu. Masa itu pelajar yang lebih muda masuk seminggu lebih awal daripada yang lebih dewasa. Ketika itu di Malaysia sedang hangat dengan filem di panggung wayang bertajuk "Pontianak Harum Sundal Malam" lakonan Maya Karin. Pada minggu pertama dan malam ketiga, suasana di dalam bilik tidur saya terasa panas sekali. Kawan-kawan saya semua tidur lena akibat keletihan di siang hari, hanya saya seorang tidak boleh tidur. Tiba-tiba saya mendengar jeritan daripada seorang wanita persis suaranya seperti pelakon Maya Karim di dalam filem yang saya sebutkan tadi.
Saya buat tak kisah sahaja sebab asrama wanita dengan asrama lelaki berdekatan sahaja, cuma dipisahkan dengan dewan makan. Saya sangkakan pelajar lelaki yang suka usik pelajar wanita di asrama perempuan. Makin lama makin kuat jeritan tersebut. Dalam hati saya berkata, "Ah... Kuatnya bunyi telefon bimbit budak laki ni. Telefon bimbit apa dia gunakan? Nokia ke Samsung?" Saya rasa macam tak sedap hati terus saya tidur.
Pada keesokan hari seorang pelajar di peringkat lebih rendah datang kepada saya dan bertanya, "Akak, semalam akak ada dengar tak 'Maya Karin' menjerit-jerit?" Lalu saya berkata, "A'ah ada dek, semalam akak ada dengar, kuat sangat bunyinya. Kenapa, budak-budak lelaki kacau kamu semua ke?" Lantas, budak itu membalas, "Tidak kak... Semalam betul-betul Pontianak datang asrama pelajar wanita kak!!!"
Saya bertanya, "Kau biar betul??? Ada kau nampak dengan mata kepala sendiri ke??? Yang kau tak tidur dua tiga pagi apa hal dik?" Budak itu berkata, "A'ah betul kak, saya nampak masa tu saya baru lepas lepak bilik tidur kawan saya. Masa sedang jalan balik ke bilik saya, nampak lah 'Cik Maya Karin' tu terbang sambil mengilai-ngilai..."
Kemudian saya tanya soalan cepu cemas kepadanya, "Adik... 'Cik Maya Karin' tu terbang ada macam Superman yang selalu kita tengok tu??? Panjang tak rambut dia??? Cantik tak muka dia???" sambil saya ketawa. Pelajar itu berkata, "Takdelah kak... Dia terbang macam orang sedang baring, rambut dia panjang dan pakai baju putih. Muka tak nampaklah, kalau nampak ada pula saya cuti sakit seminggu. Yang paling tak boleh saya lupakan, kami yang duduk di bilik aras satu semuanya bangun dan membaca surah Yasin..."
Untuk pengetahuan semua, asrama wanita ini hanya dua tingkat saja. Itu saja kisah seram saya yang tak berapa seram. Saya harap dengan kiriman emel yang pertama ini saya sedikit sebanyak dapat menghiburkan anda semua. Untuk pengetahuan anda di Utara Semenanjung Malaysia ni terkenal dengan Kak Pon (tianak) dan Kak Lang (suir). Sekian terima kasih...