Kalau sebelumnya Rosnah seringkali tergelak kecil tidak percaya apabila mendengar kawan-kawannya bercerita soal misteri. Tetapi apa yang dialaminya malam minggu lalu, benar-benar menyedarkan dirinya bahawa makhluk halus memang wujud di alam ini.
Rosnah masih ingat lagi, malam itu syarikat tempatnya bekerja menganjurkan jamuan makan malam tahunan, di salah sebuah hotel terkemuka di tengah-tengah ibu kota. Sungguhpun majlis tamat sebelum menjelang tengah malam, namun disebabkan hujan turun dengan lebatnya, Rosnah nyaris-nyaris tertinggal bas untuk pulang ke rumah. Bersama-sama Mona yang kebetulan mendiami kawasan perumahan berhampiran, mereka duduk di belakang perut bas kerana tahu-tahu ajelah kalau perkhidmatan bas terakhir, pasti penuh penumpang.
Selepas membayar tambang kepada konduktor bas, mereka berborak-borak kosong. Bas pula laju memecut keheningan jalan raya. Hanya sesekali berhenti menurunkan penumpang apabila loceng dibunyikan. Sedang asyik Rosnah dan Mona bersembang, pemandu bas tiba-tiba menekan brek kecemasan.
Kedengaran pemandu merungut-rungut marah pada sesuatu yang mereka sendiri tidak fahami butir bicaranya. Suasana menjadi hingar-bingar, ada yang meluru ke hadapan untuk melihat apa yang terjadi. Tidak kurang juga yang berpandang sesama sendiri, tertanya-tanya.
Bertenang, bertenang... jangan kecoh-kecoh. Bukannya kita langgar orang tapi ada masalah teknikal sikit, tak de apa-apa, kata konduktor bas sambil meminta beberapa pemuda yang berada di belakang tempat duduk pemandu, kembali ke tempat masing-masing.
Apa hal bang, tayar pancit ke? Tanya pula seorang gadis India kepada konduktor tadi. Rosnah yang tidak senang duduk mula berdiri, meninjau-ninjau keluar tingkap untuk melihat sekeliling. Tetapi keadaan lampu jalan yang agak malap, membataskan penglihatannya.
Sambil mengangkat bahu dan menggeleng-gelengkan kepala, konduktor tersebut kembali ke hadapan semula.
Eh Mona, kau agak-agak bas ni kenapa ha? Kalau nak kata dia langgar orang, mesti kita dengar jeritan, tapi entahlah, kan... kata Rosnah cuba turun tetapi ditegah oleh Mona.
Tak payahlah kita pulak nak turun, kan ke hujan masih renyai-renyai. Biarkan mereka yang menyelesaikan, apa pun masalah yang berlaku. Lagipun tak manis, kita orang perempuan menyibuk tak tentu pasal, malulah..., ujar Mona berulang-kali.
Belum sempat Rosnah menyampuk kata-kata Mona, bas kembali bergerak tanpa sebarang amaran, sehinggakan dua tiga orang penumpang yang masih berdiri terhuyung-hayang mencari tempat duduk. Dengan nada menjerit, pemandu bas meminta semua penumpang menutup tingkap jika ada yang terbuka, atau tidak bertutup rapat.
Cepat sikit..., ujarnya dengan suara sedikit tenggelam-timbul kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba. Rosnah mula rasa tidak sedap hati. Kerana tidak mahu menakutkan Mona, dia hanya mendiamkan diri. Dipandangnya wajah gadis India yang duduk berhampiran dengannya tetapi sepantas itu juga, Rosnah memalingkan mukanya ke hadapan.
Kelu lidahnya hendak berkata-kata, hinggakan mahu mencuit tangan Mona pun dia tidak terdaya. Dalam hatinya hanya mampu membaca, beberapa potong ayat suci yang sempat terlintas di hati, itu pun ada yang lintang-pukang. Sambil berdoa agar bas cepat sampai, Rosnah sebenarnya tidak pasti apakah yang perlu dilakukannya sekarang.
Khayalannya terhenti apabila Mona mengoncang-goncangkan bahunya sambil memberi isyarat, mereka sudah hampir sampai ke hentian seterusnya iaitu pondok bas di hadapan taman perumahan mereka. Tetapi peliknya walau berulang kali Mona membunyikan loceng, pemandu tetap meneruskan perjalanan.
Bang... berhentikanlah bas! Rumah kami dah terlepas ni, tak dengar ke? Kata Mona dengan nada separuh marah. Tidak mempedulikan permintaan Mona, bas terus dipandu laju sehinggalah tidak lama kemudian, pemandu membelokkan bas masuk ke dalam kawasan balai polis.
Apa lagi, sepantas kilat dia membuka pintu bas dan meluru ke perut balai diikuti beberapa penumpang lain. Rosnah yang sedari tadi seperti dipukau, turut mengambil tindakan serupa dengan menarik sekuat hati tangan Mona agar menurutinya.
Beberapa anggota polis yang masih bertugas, keluar mendapatkan mereka dan setelah pemandu dan konduktor menceritakan segala-galanya, barulah Mona tahu keadaan sebenar. Itu pun puas Rosnah mengiakan apa yang diperkatakan, sebagai bukti dia turut melihat kejadian tersebut.
Sah! Seperti mana yang Rosnah nampak, memang gadis India itu tidak berkepala dan itulah puncanya pemandu bas melakukan brek kecemasan. Ini kerana dia sendiri tergamam apabila kepala gadis itu, melayang-layang di hadapan cermin hadapan bas. Peliknya apabila diperiksa, gadis India itu tiada di tempatnya, tetapi bas tersebut berbau busuk dan hanyir...