Apabila dunia semakin tenat, Kerana manusia semakin hilang minat, Untuk menghargai sesebuah nikmat. Apabila manusia gagal menghayati sesebuah hikmat, Kerana manusia gagal memikul amanat, Untuk menghentikan cerita derita yang tak pernah tamat.
Di sini anak-anak kecil menangis tak henti-henti, Kerana manusia yang berakal dan berhati, Lebih suka mengarang cerita derita yang sangat menakutkan sekali, Maka arus kedamaian terhenti di sini, Keruh dilanda kemarau panas bahang matahari, Maka kita semua akan mati kehausan di tebing kekejaman ini.
Mari kita cuba hayati sebuah lukisan, Lukisan yang memaparkan erti sebuah kedamaian, Kita jadikan sebagai hiasan sepanjang zaman, Untuk tatapan generasi anak cucu kita yang bernama insan, Yang gagal mempelajari maksud perkataan ehsan, Kerana manusia hari ini tidak lagi mengenal Tuhan.
Kini anak-anak kecil masih menangis, Kerana wajah dunia bertukar bengis, Apabila madu kedamaian pun semakin hilang rasa manis, anak-anak ini akan terus menangis, Hati mereka akan terus terguris, Rasa bisa senyuman sinis pun menusuk pedih rasa kasih.
Maka di mana kedamaian kita mampu temui, di mana sinar jernih dapat kita rasai, dimana rasa kasih dapat kita nikmati, Apakah dunia enggan senyum lagi? Apakah Syaitan masih lagi bersembunyi, di sebalik wajah-wajah manusia pada hari ini.