Sayu rasanya hati Meklah mendengar berita kematian sepupunya. Sebentar tadi beberapa biji cawan sudah pecah berderai kerana terhempas ke lantai. Terkejut amat dia mendengar berita itu sehingga terlepas dulang yang terpegang di tangan.
"Tak sangka pula dia ada sakit jantung," kata Jumari sambil menggeleng-geleng sedih. "Muda lagi dia tu. Baru sebaya kita kan Meklah?"
Meklah membisu. Di kerusi rotan yang kusyennya sudah senipis cadar itu dia terus melayan perasaan. Tidak terdaya mulutnya hendak berkata-kata lagi. Sedih benar hatinya, namun tiada air yang hendak tergenang di mata.
"Tapi aku macam tak boleh terimalah dia tu mati sebab terkejut nampak hantu," kata Jumari lagi. "Orang Melayu ni suka sangat buat cerita mengarut bila tak tau nak jelaskan sebab! Macam mana nak maju?"
"Nampak hantu?" sampuk Mekna yang sedari tadi juga membisu di sebelah Meklah.
Jumari mengangguk bersungguh-sungguh.
"Macam tulah ceritanya orang kampung dia," akui Jumari lagi. "Dia orang kata, malam tu si Kimil ni macam biasalah pergi ke dusunnya nak tunggu durian. Sorang-sorang aja. Bila tak balik-balik sampai ke pagi, orang kampung dah kecoh. Semua pergi cari dia. Tengok-tengok dah meninggal! Terlentang aja kat dalam dusun dia tu."
"Habis tu? Mana datang hantunya?" tanya Mekna.
"Kat kampung tu memang dari dulu lagi orang dah kecoh pasal langsuir. Dia orang kata dalam dusun si Kimil tu memang ad langsuir. Adalah dua tiga orang yang pernah nampak. Bertenggek aja kat bumbung pondok tu. Yang si Kimil ni degil pula. Pergi juga ke dusun dia tu sorang-sorang malam-malam buta!"
"Ada orang nampak langsuir kat situ?"
Jumari mengangguk bersungguh-sungguh.
"Habis tu? Macam mana orang semua tau yang dia mati tu sebab terkejut nampak langsuir?"
"Kan aku dah cakap tadi? Bila orang kampung semua tak boleh cari sebab kenapa dia mati, dia orang buat cerita la."
"Kau percaya cerita tu?"
Jumari mengangkat bahu.
perhatian! kalo da di post kn, tulun pdm topi ni erk? hik3...