Saya menyintai seorang lelaki dan berjanji dengan janji Allah untuk berkahwin dengannya. Tidak lama selepas itu lelaki tersebut datang ke rumah saya untuk meminang, tetapi keluarga saya menolak kerana mereka bercadang mahu mengahwinkan saya dengan lelaki lain. Apakah boleh saya berkahwin dengan lelaki lain? Saya takut memungkiri janji yang telah saya putuskan dalam diri saya. Semoga tuan dapat menjawab masalah ini.
JAWAPAN
Perkahwinan dalam Islam mestilah disempurnakan dengan persetujuan pihak-pihak yang terlibat semuanya, keredhaan gadis, walinya, ibunya sebagai mana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Pertama : Islam menyuruh wali mengambil kira pendapat gadis dan tidak memaksanya berkahwin dengan sesiapa yang tidak disukainya. Tanda keredhaan anak gadis ialah diamnya. Nabi telah menolak perkahwinan wanita yang dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak disukainya. Seorang gadis telah menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata:
"Wahai Rasulullah, bapa saya hendak mengahwinkan saya dengan lelaki yang saya tidak sukai." Jawab baginda : " Perkenankanlah apa yang dilakukan oleh bapamu." Gadis itu berkata lagi : "Saya benci terhadapnya," Rasulullah berkata lagi : "Perkenankanlah apa yang dilakukan oleh bapamu." Rasulullah mengulanginya beberapa kali. Apabila wanita itu tetap menolak permintaan Rasulullah, baginda bersabda : "Engkau mempunyai hak untuk menolak cadangan bapamu :" Baginda juga menyuruh bapa wanita tersebut meninggalkannya (wanita) berdasarkan kehendaknya. Selepas itu gadis itu berkata : "Wahai Rasulullah! Saya perkenankan apa yang bapa saya lakukan, tetapi saya hendak memberitahu kepada bapa-bapa lain bahawa mereka tiada hak untuk memaksa anak-anak gadis mereka." Dengan ini mestilah diambil kira kehendak gadis, keredaannya serta pendapatnya secara jelas.
Kedua : Wali juga mestilah reda dan mengizinkan perkahwinan anaknya. Sebuah hadis menyebut yang bermaksud : "Mana-mana perempuan yang mengahwini dirinya sendiri tanpa izin walinya, pernikahan itu adalah batal, batal, batal dan bukanlah wanita Islam yang mulia apabila berkahwin tanpa izin walinya dan keluarganya".
Ramai lelaki yang mempermainkan gadis-gadis tanpa mengambil kira perasaan mereka. Walaupun gadis-gadis itu baik hatinya namun fikirannya yang sempit memudahkan mereka ditipu dan dijatuhkan maruahnya. Sebab itulah syarak telah memberikan hak kepada ayah atau walinya di dalam hal mengahwinkannya. Oleh itu mestilah diambil kira izin dan keredhaan wali sebagaimana yang disepakati oleh jumhur imam-imam.
Ketiga : Nabi menambah lagi dengan memberitahu kepada wali-wali dan bapa-bapa dengan sabdanya ; "Ambil kiralah ibu-ibu dalam masalah anak perempuan mereka ". Itulah yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, maknanya mengambil kira pendapat ibu, kerena ibu itu wanita yang mengetahui masalah-masalah wanita. Ia mengambil berat perkara yang tidak diambil berat oleh lelaki ataupun bapa. Merekalah juga yang mengetahui kelakuan anak-anak mereka dari segi perangai dan kegemaran mereka yang tidak diketahui oleh bapa.
Apabila pihak-pihak ini iaitu ayah, ibu, anak gadisnya dan bakal suami bersetuju, perkahwinan yang akan dilangsungkan pasti akan bahagia. Ini kerana menepati syarat-syarat perkahwinan yang dikehendaki oleh Al-Quran tentang ketenangan, kasih sayang dan bertimbang rasa. ia merupakan satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah seperti firmanNya : "Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan Allah) menjadikan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri agar kamu tenang dan menjadikan di antara kamu kasih sayang dan bertimbang rasa, itulah tanda-tanda bagi mereka yang berfikir". (Ar-Rum : 21)
Kepada yang bertanya, wanita itu menguruskan dirinya tanpa pengetahuan keluarga dan walinya. Apa yang dilakukan ini adalah batal, ia sanggup mengikat janji bersama lelaki tanpa pengetahuan keluarganya. Janjinya ini tidak ada nilai jika tidak disetujui oleh wali-walinya. Tidak perlulah gadis itu takut dengan janji-janji tersebut. Kami juga menasihatkan kepada wali-wali agar mengambil kira sifat-sifat gadisnya, kegemarannya selama mana ia dapat diterima akal. Inilah jalan yang selamat, jalan yang dianjurkan oleh syarak untuk kebaikan hambanya di dunia dan di akhirat.
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????