Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: jom main saham!!


Senior Member

Status: Offline
Posts: 293
Date:
jom main saham!!


Pilih saham syariah

SAHAM adalah antara aktiviti perniagaan yang pesat berkembang di Malaysia. Penglibatan dalam kegiatan saham amat diminati kerana ia mendatangkan pulangan yang lumayan tanpa perlu menunggu tempoh yang terlalu lama berbanding menyimpan wang di institusi kewangan.

Bagaimanapun, Islam telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum umatnya terlibat dalam permainan saham. Menurut ensiklopedia, saham merupakan bukti hak milik ke atas sesuatu syarikat atau perusahaan dalam bentuk perseorangan terbatas. Ia biasanya merujuk kepada perkongsian harta milik dalam syarikat.

Bagi mengupas persoalan saham dalam Islam, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AZMAN GHANI menginterviu Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Hassan.

Bolehkah Prof. jelaskan kedudukan saham menurut Islam?

DR. ALWI: Islam amat menggalakkan umatnya melibatkan diri dalam perniagaan atau jual-beli. Ini ditegaskan dalam al-Quran, Allah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. (Al-Baqarah: 275). Berdasarkan ayat ini, umat Islam bebas berjual-beli dan ini termasuklah menjual dan membeli saham selagi mana ia mengikut syarat yang ditetapkan. Antaranya ialah barang atau komoditi yang diurusniagakan itu mestilah halal dan bersih. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya, Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. (Al-Baqarah: 168) Ini bermakna ia tidak boleh melibatkan wang haram daripada pelacuran, perbomohan atau perubatan yang diharamkan, melibatkan perniagaan patung, binatang yang diharamkan dan sebagainya.

Ia juga mesti mendapat kerelaan kedua-dua pihak yang terlibat. Maknanya tiada unsur paksaan dan kezaliman dalam urusniaga yang dilakukan. Mesti juga melibatkan ihsan iaitu situasi menang-menang. Lebih penting lagi ialah tidak mengandungi unsur-unsur riba, perjudian dan gharar iaitu sesuatu yang tidak pasti akan hasil atau akibatnya. Contohnya, menjual burung di udara atau ikan di laut.

Amanah Saham Islam merujuk kepada dana pelaburan kolektif yang menawarkan peluang pelaburan dalam pelbagai portfolio sekuriti lulus syariah serta diuruskan oleh pengurus dana profesional menurut prinsip syariah.

Sejak kebelakangan ini ada peningkatan penglibatan umat Islam dalam kegiatan saham terutama yang diluluskan oleh syariah. Apakah ia petanda baik atau sebaliknya?

Ini petanda baik kerana Islam sendiri amat menganjurkan umatnya agar menabung untuk masa depan. Peningkatan ini berkait rapat dengan kesedaran umat Islam yang mahukan pelaburan berasaskan syariah selepas sekian lama wujudnya pasaran saham konvensional. Setakat ini, terdapat lebih 30 produk perbankan Islam ditawarkan di negara kita.

Pasaran modal Islam juga diperkenalkan di bawah penyeliaan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Ini termasuk ekuiti Amanah Saham Islam, Indeks Islam Bursa Saham Kuala Lumpur dan Kaunter Halal (Majlis Penasihat Syariah, SC). Pada Jun 2002, kerajaan menerbitkan Sijil Amanah Islam pertama untuk menggalakkan pembangunan pasaran kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Institusi dana amanah saham Islam di negara kita juga angkanya mencecah kira-kira 25 jenis. Saya cuma mahu menyebutkan beberapa contoh seperti yang ditawarkan oleh ASM Mara Unit Trust Management Berhad, Amanah Saham Bank Islam (ASBI), Mayban Unit Trust Berhad dan AmInvestment Services Berhad.

Selepas pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mewujudkan saham syariah maknanya tiada lagi alasan bagi umat Islam melabur dalam saham konvensional. Tetapi hakikatnya, masih ramai yang berbuat demikian. Jadi apakah nasihat Prof. kepada golongan ini?

Bagi menjelaskan perkara ini kita perlu merujuk kepada firman Allah yang bermaksud, Orang-orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian itu kerana mereka mengatakan, “Sesungguhnya berjual-beli itu sama dengan riba”. (Al-Baqarah: 275).

Saham konvensional antara lain melibatkan riba dan ayat ini memberi amaran kepada mereka yang terlibat dalam riba tentang kebangkitan mereka di akhirat kelak. Yang penting dalam Islam bukanlah keuntungan besar semata-mata seperti anggapan sesetengah pihak yang memilih saham konvensional kerana pulangannya lebih besar. Sebaliknya, Islam lebih menekankan kepada konsep keberkatan dalam rezeki. Berkat atau baraka ini bermakna harta kita akan sentiasa bertambah. Ia bukan sahaja tertumpu kepada wang ringgit tetapi kesihatan, mendapat zuriat yang sihat dan soleh serta ketenangan hidup. Harta yang diperolehi dari unsur riba pula adalah ‘panas’ dan cepat susut sebagaimana al-Quran menyebut, Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah dan zakatnya. (Al-Baqarah: 276)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda, “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh dagingnya daripada suht (harta-harta yang tidak halal).” (riwayat Ahmad Ibn Hambal). Cara mengelak harta yang tidak halal ialah dengan memastikan sumber kewangan dan pendapatan kita itu diperolehi dengan jalan yang halal dan bersih.

Barangkali faktor ini berlaku akibat salah faham tentang tafsiran ibadat di mana masyarakat melihat ia hanya melibatkan ibadat khusus dan bukan yang melibatkan muamalat?

Memanglah disebutkan ibadat khusus itu sebagai tiang atau tunjang agama tetapi yang lain termasuk muamalat dan munakahat itu juga adalah agama kita. Hanya Islamlah satu-satunya agama lengkap yang selalu kita sebut sebagai cara hidup. Jangan juga lupa yang kewangan itu berkait secara langsung dengan makanan kita. Ia pula berkait dengan darah-daging yang membentuk jasad manusia. Darah kotor akibat riba dan sebagainya akan menjadi laluan masuk syaitan dalam badan kita menuju ke jantung dan juga hati. Sebab itu, kadang-kadang kita susah mencapai khusyuk dalam solat dan selalu berat hendak melakukan kebajikan.

Jadi, bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan bagi mereka yang telah sekian lama melakukan urusniaga secara konvensional ini?

Caranya ialah dengan bertaubat iaitu kembali kepada Allah. Jika tidak mereka akan diperangi oleh Allah dan Rasul sebagaimana firman Allah, Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya. (Al-Baqarah: 279)

Kadangkala kita melihat secara kasarnya hidup seseorang itu cukup mewah tetapi sering dilanda musibat. Adakah itu tanda harta yang tidak berkat?

Dalam hidup ini kita tidak terlepas daripada ujian. Ada orang beriman yang diuji oleh Allah dengan penyakit dan sebagainya untuk meningkatkan keimanannya kepada Yang Maha Esa.

Namun ada juga yang ditimpa musibat sebab melakukan keburukan sebagai azab di dunia. Ini mungkin berlaku kerana hasil yang diperolehi tidak berkat sehingga membawa kepada pelbagai masalah, kerugian, kebakaran, penyakit dan kerunsingan atau kegelisahan.

Penyakit runsing ini memang sifat semula jadi manusia kegelisahan berlebihan boleh membawa kepada gila. Ia juga turut dijelaskan oleh Allah, Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). (Al-Ma’arij: 19).

Apa yang penting ialah umat Islam perlu mengamalkan sikap menabung dan menanam pelaburan dalam saham yang diluluskan syariah. Dana-dana amanah Islam ini walaupun hasilnya tidak sebanyak konvensional tetapi keuntungannya terjamin serta halal. Melabur dalam amanah saham Islam juga adalah salah satu sumbangan kepada keutuhan ekonomi umat Islam.

sumber: utusan 13-6-2006

__________________


hihi huhu haha hoho...gatalnye dia....
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard